Seludup 25 migran, hukuman penjara 2 warga Indonesia digandakan
Bernama
Mahkamah Rayuan Putrajaya menggandakan tempoh hukuman penjara dua lelaki Indonesia daripada empat tahun kepada lapan tahun atas kesalahan menyeludup 25 migran dari Malaysia.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini menggandakan tempoh hukuman penjara ke atas dua warga Indonesia kepada lapan tahun atas kesalahan menyeludup 25 migran dari Malaysia.
Nur Bakti Ab Rahman, 53, dan Herman, 50, sebelum ini dijatuhkan hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi, tetapi panel tiga hakim diketuai Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali hari ini membenarkan rayuan balas pihak pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman penjara ke atas mereka berdua.
Dalam keputusan sebulat suara, Ruzima berkata, kesalahan dua lelaki berkenaan serius kerana melibatkan keselamatan dan kedaulatan Malaysia.
Panel yang turut dianggotai Hakim Azman Abdullah dan Azmi Ariffin itu memerintahkan dua warga Indonesia berkenaan menjalani hukuman penjara mulai tarikh tangkapan 9 Okt 2023.
Kedua-dua lelaki itu mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas kesalahan berkenaan, yang dilakukan di pantai Pulau Carey, Telok Panglima Garang, Selangor pada 1 pagi 9 Okt 2023 bersama seorang lagi rakan masih bebas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Pada 29 Jan lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara empat tahun ke atas mereka, berkuat kuasa tarikh penangkapan.
Siasatan polis mendedahkan bot membawa 13 lelaki, 11 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang semuanya warga Indonesia, cuba meninggalkan Malaysia menuju republik itu melalui laluan laut tidak berdaftar.
Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling berhujah hukuman asal penjara empat tahun terlalu ringan dan tidak mencerminkan hasrat Parlimen mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan penyeludupan migran.
Tegasnya, penyeludupan migran sama ada ke atau dari Malaysia, menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara dengan melanggar sempadannya.
How turut menekankan Nur Bakti dan Herman membahayakan keselamatan migran menaiki bot dalam kegelapan tanpa jaket keselamatan demi mendapatkan keuntungan.
Kedua-duanya yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan