"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli Parlimen pembangkang cadang kerajaan sedia pulau tempatkan pelarian

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen pembangkang mencadangkan kerajaan menempatkan pelarian di sebuah pulau, memandangkan Malaysia menerima pemegang Kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) paling ramai di Asean.

Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, langkah itu secara tidak langsung akan dapat menyelesaikan isu yang berbangkit berhubung pelarian, termasuk isu sosial.

Sekiranya kerajaan bersedia berbuat demikian, beliau mencadangkan agar kosnya ditanggung oleh negara ketiga.

“Dulu kita pernah ada penyelesaian melibatkan pelarian yang kita tempatkan di mana-mana pulau,” katanya.

“Adakah kerajaan bercadang memilih mana-mana pulau yang perlu didana oleh negara ketiga sekiranya kita perlu juga menerima pelarian ini?”

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan memperoleh dana daripada negara Asean untuk menanggung kos mengurus pelarian, termasuk melibatkan pendidikan dan kesihatan.

“(Malaysia) negara terbanyak menerima pelarian di Asean, adakah kita boleh minta dengan Asean untuk mendapatkan dana untuk menanggung kos?

“Saya harap isu pelarian ini dibincang dengan lebih terperinci dalam sidang Asean, supaya tidak menjadi beban kepada mana-mana negara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat pada peringkat jawatankuasa.

Sekitar 1975, Malaysia pernah menguruskan kira-kira 500,000 pelarian perang Vietnam dengan menempatkan mereka di Pulau Bidong, Terengganu, membawa kepada pembukaan pejabat UNCHR di negara ini.

Dalam pada itu, Mumtaz berkata, Malaysia juga boleh memulakan usaha mewujudkan suatu persatuan bagi pelarian Muslim demi menjaga akidah mereka

“(Perkara ini) boleh dibincang dalam OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), memandangkan belum ada persatuan dibentuk dalam (usaha) menjaga akidah pelarian Muslim pada peringkat global,” katanya.

Setakat Mac tahun lepas, data UNHCR merekodkan Malaysia menerima seramai 182,000 pelarian dan pemohon suaka dari 50 negara, dengan etnik Rohingya dari Myanmar paling ramai, iaitu kira-kira 157,000 orang.

Tiada ulasan: