Asrol Awang
bhnews@bh.com.my
Nur Nadia bersama anak lelakinya tidak pulang ke rumah selepas keluar membeli barang di Kuantan. - Foto ihsan Adlin Mohd Zakaria
KUANTAN: Seorang ibu yang sarat mengandung lapan bulan bersama anak lelaki empat tahun dilapor hilang selepas tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Chendering, di sini semalam.
Nur Nadia Mohd Zakaria, 29, dikatakan keluar rumah dengan memandu Perodua Axia berwarna biru gelap dengan membawa anak lelakinya, Aydan Noah Mohd Shahmi, bersama untuk membeli barang.
Kakak Nur Nadia, Adlin Mohd Zakaria, 36, berkata adik bongsu daripada enam beradik itu dikatakan ingin membeli makanan di sebuah pasar raya di Jalan Pintasan Kuantan, di sini pada jam 12 tengah hari.
"Kami menyedari kehilangannya selepas Nur Nadia dan anak lelakinya tidak pulang pada 5 petang dan ahli keluarga termasuk suami adik turut mencarinya.
"Bagaimanapun, adik dan anak saudara tidak ditemui termasuk kereta yang dipandunya. Kebetulan Nur Nadia tidak membawa telefon bimbit.
"Laporan polis sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada jam 8 malam tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sehubungan itu, Adlin meminta kerjasama orang ramai yang melihat dua beranak itu termasuk kereta mereka supaya menghubungi 017-9808542.
"Kami bimbang kerana adik sedang sarat mengandung lapan bulan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan menerima laporan kehilangan dua beranak itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan