"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mudir GISBH merayu nak taubat, tinggalkan ajaran menyimpang

SITI NUR ZAWANI

Mudir sebuah madrasah yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar agama Islam tanpa tauliah di madrasah terbabit sejak tiga tahun lalu.

Ketika perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah hari ini, tertuduh merayu bahawa dia mahu bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam sebenar.

“Saya nak bertaubat, nak kembali kepada ajaran sebenarnya Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Saya mahu tinggalkan ajaran yang menyalahi agama Islam dan ingin taubat nasuha,” katanya menurut Sinar Harian.

Zahanizam Rohan, 51, kemudian dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 oleh Hakim, Sabarudin Bidin.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara tambahan dua bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

Menurut Sabarudin, hukuman sebagai memberi pengajaran kepada tertuduh memandangkan jawatan mudir merupakan jawatan tertinggi sekali gus memastikannya insaf serta bertaubat tidak mengulangi kesalahan itu lagi.

“Mahkamah juga bersetuju dengan hujah pendakwaan yang tujuan pemerintah meletakkan tauliah bagi pengajaran agama untuk menjaga kemaslahatan orang Islam khususnya di Negeri Sembilan agar tidak merosakkan masyarakat serta boleh menjadi salah faham dari segi pemahaman agama,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar agama Islam berkenaan dengan Tauhid kepada pelajar-pelajar di madrasah di Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah tanpa tauliah daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003.

Kesalahan itu dilakukan antara bulan Disember 2021 hingga September 2024.

Tiada ulasan: