"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga tempatan dicekup ketika cuba seludup tujuh warga asing

Zuliaty Zulkiffli
bhnews@bh.com.my

JITRA: Sebuah kereta jenis Chery yang dipandu dalam keadaan mencurigakan di susur keluar Malau, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, Selasa lalu membongkar kegiatan penyeludupan tujuh warga Myanmar.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata perbuatan lelaki tempatan itu dikesan Unit Kereta Peronda (MPV) Jabatan Pencegahan Komuniti ketika melakukan rondaan di lokasi terbabit.

"Ketika dihampiri, pemandu kenderaan terbabit bertindak memecut kenderaanya sejauh kira-kira dua kilometer sebelum terbabas ke bahu jalan di simpang tiga menghala Asun, Jitra.

"Pemandu kereta yang juga lelaki warga tempatan berusia 28 tahun itu pada mulanya cuba melarikan diri namun berjaya ditangkap.

"Hasil pemeriksaan lanjut dalam kereta itu menemui lima lelaki dan dan wanita warga asing," katanya dalam satu kenyataan d sini, hari ini.

Mohd Redzuan berkata semua warga asing yang diperiksa didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah dan dipercayai dari Myanmar.

Katanya, mereka berusia lingkungan antara 26 hingga 43 tahun.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Manusia 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Jika sabit kesalahan boleh di penjara tidak lebih 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

"Bagi kesalahan memasuki Malaysia tanpa dokumen perjalanan sah boleh di penjara tidak lebih lima tahun atau boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali atau tidak lebih dari enam sebatan," katanya.

Mohd Redzuan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Tiada ulasan: