"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ibu, 2 rakan tendang anak dipenjara 14 hari

Ho Kit Yen

Nur Adriana Mysara Nazri, Adibah Zaini dan Nor Azlin Fatin Najihah Lokman turut dikenakan denda RM10,000 selepas selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Tiga wanita itu masing-masing dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana mendera seorang kanak-kanak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Seorang ibu muda dan dua rakannya masing-masing dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mendera seorang kanak-kanak.

Nur Adriana Mysara Nazri, 20, bersama Adibah Zaini, 35, dan Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dibacakan di hadapan Hakim Norina Zainal Abidin.

Kesalahan itu membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Danau Desa, Setapak, pada 23 Feb.

Mahkamah turut mengenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun ke atas ketiga-tiga tertuduh dan memerintahkan mereka menjalankan khidmat masyarakat selepas selesai menjalani hukuman.

Mengikut fakta kes, polis dimaklumkan mengenai satu video tular yang menunjukkan Adibah menendang anak Adriana.

Kanak-kanak lelaki yang dibawa ke Hospital Kuala Lumpur itu didapati mengalami kecederaan di perut, kening, anggota badan dan belakang.

Siasatan lanjut mendapati Adibah telah menendang budak itu manakala Azlin merakam kejadian itu. Adriana tidak berusaha untuk menghalang mereka.

Semasa prosiding, ketiga-tiga mereka, yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan.

Adibah berkata dia kesal dengan tindakannya itu, berjanji untuk tidak mengulanginya, manakala Azlin memberi alasan dia adalah penyara tunggal keluarga.

Adriana berkata dia terpaksa mengurung anaknya ‘dalam sangkar’ di rumah Adibah ketika pergi bekerja.

Hakim turut mempersoalkan tindakan Adriana untuk meninggalkan anaknya dalam keadaan sedemikian dan bukannya dengan nenek sebelah ibunya di Pulau Pinang.

Adriana tidak menjawab, hanya memberi jaminan kepada mahkamah bahawa dia tidak akan mengulangi kesilapannya.

Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadap mereka, dengan alasan Adriana kurang rasa menyesal terhadap perbuatannya.

Tiada ulasan: