Syarifah Dayana Syed Bakri
dayana@mediaprima.com.my
PENDUDUK Palestin yang dipindahkan dari tempat perlindungan di Beit Hanoun melalui jalan utama Salaheddine ke Jabalia di utara Semenanjung Gaza berikutan perintah pemindahan tentera Israel pada 12 November 2024, di tengah-tengah perang berterusan di wilayah Palestin antara Israel dan Hamas. FOTO AFP
Donald Trump yang pernah memegang jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh 2017 hingga 2021, bakal kembali ke Rumah Putih tahun depan.
Trump sebelum ini dikenali dengan polisi 'keras' terhadap imigran selain polisi ekonomi yang diperkenalkan sedikit membimbangkan ahli ekonomi dan rakan dagang AS.
Namun, tumpuan kali ini lebih terarah kepada apa perubahan yang Trump boleh bawa ke atas peperangan di Timur Tengah khususnya Gaza.
Al Jazeera melaporkan, Trump berjanji untuk menghentikan perang di Gaza, menamatkan pertempuran selama setahun yang telah membunuh lebih 40,000 rakyat Palestin.
Ia juga telah merebak ke Lubnan, Yaman, dan negara lain yang berdekatan.
Menurut laporan itu, walaupun Trump serius untuk mengotakan janjinya, peluang untuk menamatkan perang Israel dengan Hamas di Gaza adalah rendah dan pertempuran berkemungkinan berterusan.
Katanya, walaupun Hamas menawarkan perjanjian penarikan tebusan, dengan syarat yang menguntungkan Israel, tidak mungkin Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan bersetuju.
Di pihak Palestin, memulakan perdamaian dan melaksanakannya mungkin sedikit sukar.
Ini kerana Israel telah membunuh Ismail Haniyeh, Yahya Sinwar, Mohammed Deif, dan pemimpin Hamas lain, serta banyak komander peringkat rendah.
Hasilnya adalah kekosongan kepemimpinan.
Malah, mana-mana pemimpin di Gaza yang cuba menyatukan kawalan di Semenanjung Gaza mungkin berdepan serangan peluru berpandu Israel.
Presiden AS ketika ini, Joe Biden dilihat lebih 'kuat' memberi tekanan ke atas Israel berbanding Trump, namun beliau juga gagal membuat rundingan gencatan senjata.
Lebih menyukarkan hasrat menghentikan peperangan di Gaza ini apabila timbul desas-desus Trump bakal melantik orang kuatnya, yang sebahagiannya adalah penyokong kuat Israel.
Antara nama yang disebut adalah Marco Rubio iaitu senator Florida. Dia dikatakan bakal memegang jawatan Setiausaha Negara yang antara lain mengendalikan polisi luar AS yang lebih tegas mengenai pendirian terhadap Timur Tengah dan China.
Selain itu, Mike Huckabee turut disebut bakal menyertai Kabinet Trump yang dikhabarkan bakal berkhidmat sebagai duta AS ke Israel.
Dia memiliki pegangan kuat menentang gencatan senjata dengan Hamas dan menyokong pengilhakan penempatan Israel di Tebing Barat.
Di pihak Israel, kerajaan Netanyahu turut mengambil langkah mengejutkan apabila memecat Menteri Pertahanan Yoav Gallant, yang menyokong perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
Menurut Al Jazeera, Netanyahu tidak berada dalam kedudukan politik yang baik hari ini, tetapi dia berada dalam kedudukan yang jauh lebih baik berbanding pesaingnya sebelum ini.
Dasar Netanyahu untuk meneruskan perang di Gaza dan meluaskan konflik di Lubnan, di mana Israel telah menghancurkan Hizbullah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, menjadikannya popular.
Walaupun tentera dan masyarakat Israel keletihan lebih setahun pertempuran dan rakyat Palestin di jalur itu mengalami krisis kemanusiaan yang besar, usaha yang diperlukan untuk mengekalkan perang di Gaza adalah terhad, berbanding serangan habis-habisan setahun lalu.
Untuk mencapai keamanan di bumi Gaza, ia memerlukan tiga kombinasi berkesan iaitu persetujuan Hamas, pengantara yang berkesan dan keinginan Israel untuk menamatkan perang.
Namun, ketika ini, kesemua faktor itu tidak wujud.
Sama ada Biden, Trump atau siapa saja yang muncul menerajui AS, ia tetap tidak dapat mengembalikan keamanan di Gaza jika tiga kombinasi itu tidak dipenuhi.
Tetapi, Allah Maha Berkuasa. Sebaik mana pun perancangan manusia, jika Allah berkehendak, pasti akan berlaku.
Teruskan menitip doa untuk keamanan bumi Gaza, Lubnan, Syria dan Iran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan