Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
Manjung: Lelaki maut dihempap batu ketika mengendalikan mesin korek di sebuah tapak kuari di sini, semalam.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak berkata, dalam kejadian jam 4.45 petang itu, mangsa berusia 35 tahun yang juga operator mesin korek 'crawler' bekerja bersama rakannya yang mengendalikan mesin jengkaut.
Menurutnya, semasa melakukan kerja di muka kuari, batu kuari jatuh dari cerun sebelah tempat lelaki itu bekerja lalu menghempapnya dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Notis pemberhentian serta merta ke atas kerja di kawasan kejadian dikeluarkan sehingga siasatan selesai dijalankan.
"Majikan diarahkan untuk menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian dan langkah penambahbaikan, serta membuat pembentangan kes kepada JKKP Perak.
"Kami juga akan menjalankan siasatan lanjut dengan mendapatkan dokumen berkaitan dan merakam percakapan saksi yang dikenal pasti, serta lawatan susulan selepas tindakan penambahbaikan dan pencegahan diambil," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan