Malaysiakini
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan bahawa Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu kini secara rasmi bukan lagi ahli parti itu dan sepatutnya dikategorikan sebagai Ahli Parlimen Bebas di Dewan Rakyat.
Menurutnya, kedudukan itu bukan sahaja melibatkan timbalan presiden Bersatu itu, tetapi malah merangkumi lima lagi Ahli Parlimen yang telah dipecat daripada parti itu sebelum ini.
Mereka ialah Fathul Huzir Ayob (Grik), Azahari Hasan (Padang Rengas), Wan Saiful Wan Jan (Tasik Gelugor), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), dan Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota).
"Berdasarkan Akta Lompat Parti 2022, Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu dan Peraturan Dewan Rakyat, Hamzah kini secara automatik dianggap ahli Bebas.
"Sepatutnya mereka perlu dipindahkan ke blok Bebas dan tidak lagi mewakili Bersatu mahupun Perikatan Nasional (PN)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Status ketua pembangkang Hamzah terbatal
Mengulas lanjut, Tun Faisal berpendapat bahawa perubahan status itu turut memberi kesan langsung kepada jawatan strategik yang disandang oleh kumpulan berkenaan di Parlimen.
Katanya, jawatan yang diperoleh melalui kuota parti, termasuk jawatan ketua pembangkang yang kini dipegang Hamzah, sepatutnya terbatal dengan sendirinya.
"Jawatan ketua pembangkang mesti diisi oleh ahli yang mewakili parti dalam blok pembangkang, bukan blok bebas.
"Ahli Bebas sepatutnya tidak layak mencalonkan atau menentukan ketua pembangkang kerana sifat mereka yang tidak lagi mewakili mana-mana blok parti rasmi," katanya.
Selain ketua pembangkang, Tun Faisal turut membangkitkan keperluan untuk menggantikan kedudukan lain seperti Ketua Whip, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), dan pengerusi portfolio (Kabinet Bayangan) yang dipegang oleh ahli yang telah dipecat.
Hamzah tak boleh dakwa wakili MP Bersatu
Ketua penerangan Bersatu itu turut mengingatkan bahawa Hamzah tidak mempunyai hak undang-undang untuk mendakwa dia mewakili baki 18 lagi ahli Parlimen Bersatu yang masih sah.
Katanya, mengikut Seksyen 9(2) Akta Lompat Parti, mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang masih menjadi ahli parti asal tidak boleh dianggap Ahli Bebas atau berpindah blok tanpa kelulusan rasmi parti.
"Ini bermakna hanya Ahli Parlimen yang dipecat sahaja boleh bergabung dengan beliau (Hamzah). Ahli Parlimen yang kekal dalam Bersatu tidak sah untuk berpindah blok secara kolektif tanpa tindakan disiplin rasmi.
"Hamzah tidak mempunyai hak untuk mewakili PN atau blok pembangkang kerana secara undang-undang mereka (yang dipecat) hanya boleh bertindak sebagai Ahli Bebas," katanya.
Sehubungan itu, dia mencadangkan agar pengurusan parti mengambil tindakan segera dengan memohon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memindahkan kedudukan kerusi ahli-ahli yang terlibat.
Langkah itu, tegasnya, adalah kritikal bagi memastikan disiplin dalaman terjaga serta mengelakkan kekeliruan politik mengenai kredibiliti Bersatu sebagai blok pembangkang yang utuh.
"Tindakan disiplin dan pengurusan blok oleh parti adalah penting untuk memastikan autoriti Bersatu dan PN kekal terpelihara," katanya.
Selain Hamzah dan lima Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat itu, – ahli parlimen yang dikatakan menyokongnya kumpulan itu ialah Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee (Beluran), bekas ketua Wanita Bersatu yang juga pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Abdul Khalib Abdullah (Rompin), dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Turut berada dalam kelompok itu ialah Zakri Hassan (Kangar), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Islahuddin Abbas (Mersing).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan