Haspaizi Zain
Sokongan terbuka Hamzah Zainudin kepada pengerusi baru PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, mengundang persoalan mengenai hala tuju politik bekas timbalan presiden Bersatu itu.
Ketika Hamzah dikaitkan dengan kemungkinan akan kembali ke pangkuan Umno dengan menyertai "rumah besar" ilham Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, langkah lanjut ahli politik itu mungkin berbeza.
Kini, Hamzah bersama 18 lagi ahli parlimen di belakangnya memberi isyarat dia mahu kekal dalam gabungan PN dan berkemungkinan besar bersama PAS.
Ia juga menepis jangkaan yang Hamzah akan mengambil alih parti Berjasa selepas disingkirkan Bersatu.
Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Azmi Hassan berpendapat Hamzah tidak akan kembali ke pangkuan Umno demi kelangsungan politik Ahli Parlimen Larut itu.
Katanya PAS adalah pilihan terbaik untuk Hamzah jika dia ingin meneruskan karier politiknnya kerana parti berkenaan dilihat lebih terbuka, khususnya dari aspek penerimaan ahli.
Walaupun mungkin dianggap ‘orang luar’ ahli PAS biasanya tidak akan membantah jika individu berkenaan dipilih untuk menjadi calon semasa pilihan raya.
"Berbeza dengan Umno, walaupun Hamzah dan ramai lagi asal-usulnya dari parti itu, mereka kena bermula dari bawah balik kecuali dalam keadaan tertentu.
"Sebab itu dikatakan sukar untuk Hamzah kembali kepada Umno. Nasib Khairy Jamaluddin pun setakat ini kita belum tahu lagi,” katanya kepada Malaysiakini.
Pada 13 Feb lalu, Bersatu memecat Hamzah berkuat kuasa serta merta berdasarkan keputusan lembaga disiplin parti terbabit.
Menurut Bersatu, Hamzah dipecat berdasarkan kepada fasal 9.1.4 perlembagaan parti yang terkait dengan kewajiban ahli melaksanakan kerja-kerja serta menghadiri mesyuarat parti.
Azmi berkata PAS juga mengambil pendirian menyokong Hamzah sebagai ketua pembangkang sebelum ini kerana ingin memberi teknanan kepada Bersatu supaya berikan jawatan Pengerusi PN kepada mereka.
Turut senada, penganalisis politik dan media sosial di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Madya Sara Chinnasamy yang berpendat Hamzah tidak akan kembali kepada Umno.
Jalan paling selamat
Katanya, sokongan Hamzah kepada Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, sebagai Pengerusi PN lebih kepada usaha menyelesaikan konflik dalamam PN daripada terus berpanjangan.
"Saya tidak fikir Hamzah akan kembali ke Umno berikutan agenda asal PN ialah sebagai parti pembangkang utama dan konsolidasi serius bahawa PN benar-benar bersedia untuk bertanding dalam PRU akan datang,” katanya.
Lagi pun, tambah Sara, masih terlalu awal untuk Hamzah membuat keputusan muktamad kerana ia banyak bergantung kepada sentimen semasa.
“Saya percaya PN tiada isu untuk PAS memimpin gabungan itu kerana PAS sudah mempunyai akar umbi yang kuat," katanya.
Sementara itu, penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Prof Awang Azman Awang Pawi, pula berpendapat ada kemungkinan untuk Hamzah kembali kepada parti yang mengangkat namanya sebelum ini – Umno.
Katanya, tindakan Hamzah kekal menyokong PN boleh dianggap sebagai salah satu pendekatan taktikal ketika ini kerana ia merupakan jalan paling selamat apabila gabungan itu dikuasai PAS.
Katanya, hubungan Hamzah dengan Umno hanya boleh berlaku menjelang PRU akan datang ataupun selepas itu.
"Saya lebih melihat pendekatan semasa Hamzah bersifat taktikal, dia tiada pilihan kecuali kekal menyokong PN atas dasar gabungan tersebut dikuasai ataupun didominasi PAS.
"Hubungan Hamzah dengan Umno ia tidak berlaku dalam masa terdekat.
“Saya kira itu satu startegi. Tidak mustahil berlakunya kerjasama dalam konteks rumah besar," katanya.
Bagaimanapun menurut Awang Azman, ia masih bergantung kepada situati politik semasa, termasuk yang membabitkan kedudukan DAP dalam kerajaan serta percaturan Rafizi Ramli bersama PKR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan