Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my
Rawang: Mengaku diri sebagai 'rasul akhir zaman' dan orang yang Allah SWT kurniakan nikmat boleh mensyafaatkan serta boleh mengeluarkan orang daripada alam barzakh sekiranya 'beriman' dengannya.
Itu dakwaan seorang lelaki berusia 60-an yang didakwa membawa ajaran sesat hingga mengakui dirinya sebagai utusan Allah SWT yang diberikan status 'rasul akhir zaman' apabila mendakwa meninggalkan segala kemewahan yang dikecapi seawal usia 20-an.
Malah, lelaki berkenaan berani mendakwa dirinya mempunyai lebih tujuh isteri dari alam ghaib selain turut mempunyai isteri daripada pengikutnya selepas kematian isterinya.
Difahamkan, lelaki berkenaan menjadikan sebuah kawasan di Rawang di sini, sebagai 'markas dakwah' dengan ketika ini didakwa mempunyai kira-kira 20 pengikut terdiri daripada lelaki dan wanita serta kanak-kanak.
Lelaki itu juga didakwa mengajar al-Quran dan memperincikan setiap ayat suci, menjalani kehidupan zuhud serta didakwa sebagai seorang yang pintar memanipulasi orang lain hingga ada yang mempercayai serta menuruti setiap ajarannya.
Difahamkan, pengikut lelaki itu akan berkumpul pada setiap Jumaat ada juga pengikut bersama keluarga akan bermalam di pondok berkenaan beberapa hari.
Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati kawasan yang didakwa sebagai 'markas' ajaran lelaki itu berada di kawasan penempatan ramai berhampiran dengan masjid, kedai serta pasar raya.
Pemerhatian mendapati lokasi markas berkenaan berada di penghujung jalan dan mempunyai sebuah bangunan kayu dipercayai pondok yang menjadi tempat lelaki itu 'berdakwah' dan kawasan itu berpagar.
Harian Metro difahamkan terdapat kebun yang diusahakan di hutan belakang kawasan berkenaan selain turut dikatakan ada pondok dibangunkan di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan