"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua beradik ditemui maut sebelum majlis perkahwinan, disyaki akibat keracunan

Astro AWANI

JODHPUR: Kegembiraan sebuah keluarga di India bertukar menjadi tragedi memilukan apabila dua beradik perempuan ditemui maut hanya beberapa jam sebelum majlis perkahwinan mereka dijadualkan berlangsung semalam.

Mangsa yang dikenal pasti sebagai Shobha, 25, dan adiknya Vimla, 23, merupakan guru di sebuah sekolah swasta dan dijadualkan untuk melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis berkembar pada Sabtu.

Menurut Timbalan Pesuruhjaya Polis Tambahan (ADCP) Barat, Roshan Meena, upacara praperkahwinan tradisional Bindauli diadakan sehingga lewat malam Jumaat sebelum kedua-dua bakal pengantin masuk tidur sekitar tengah malam.

"Bagaimanapun, sekitar jam 4 pagi, tahap kesihatan kedua-dua mangsa tiba-tiba merosot dengan mendadak.

"Ahli keluarga segera membawa mereka ke sebuah hospital swasta di Jodhpur, namun doktor mengesahkan mereka telah meninggal dunia sebaik tiba," katanya menurut laporan Hindustan Times.

Siasatan awal polis Sursagar tidak menolak kemungkinan kematian akibat makan bahan beracun, namun punca sebenar hanya akan diketahui selepas laporan bedah siasat diperoleh.

Polis menemukan sebarang nota bunuh diri di lokasi kejadian.

Polis juga terpaksa campur tangan menghentikan persiapan upacara pengebumian yang cuba dilakukan keluarga mangsa tanpa proses bedah siasat.

Sementara itu, ahli keluarga dalam laporan India Today mendakwa terdapat tekanan serta perselisihan berkaitan pemilihan lokasi majlis perkahwinan, namun polis belum mengesahkan motif sebenar kejadian dan siasatan masih diteruskan. 

Tiada ulasan: