"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh, kerat mayat bekas tunang, warga emas 71 tahun didakwa

Ersie Anjumin
Piluta Samad, 71, yang didakwa membunuh seorang wanita yang mayatnya dikerat dan dibuang di beberapa lokasi di Taman Indah Permai, Sepanggar, pada 12 Februari lalu tiba di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. -FOTO NSTP
KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang bekerja sendiri didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pembunuhan kejam seorang wanita yang mayatnya ditemui dikerat di Indah Permai, Sepanggar.

Tertuduh, Piluta Samad, 71, yang hadir di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus memahami pertuduhan namun tiada pengakuan direkodkan.

Pengakuan dia hanya akan diambil di Mahkamah Tinggi sebaik kes itu dipindahkan ke sana.

Piluta didakwa membunuh Hamidah Husin atau dikenali sebagai Lisa, seorang wanita tanpa dokumen, pada 11 Februari 2026, antara jam 6 petang dan 7 malam di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar, berhampiran sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara untuk tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, minimum 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memohon tarikh sebutan lanjut sementara menunggu laporan DNA, patologi, forensik dan kimia.

Beliau juga membantah jaminan memandangkan keseriusan kes itu.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 April untuk sebutan semula kes dan memerintahkan tertuduh terus ditahan sementara menunggu tarikh itu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita berusia 44 tahun ditemui mati dengan mayatnya dikerat kepada tujuh bahagian dan dibuang di beberapa tapak pelupusan sampah.

Lelaki berusia 71 tahun itu, yang dipercayai bekas tunang mangsa ditangkap sebagai suspek utama.

Tiga individu lain yang juga anak-anaknya terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita turut ditahan bagi membantu siasatan.

Setakat ini, dua bahagian anggota badan mangsa, iaitu kaki kiri dan tangan kanan, masih belum ditemui.

Tiada ulasan: