"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN mungkin hilang 37 kerusi, pemimpin PAS jelaskan kenyataan

Alysha Edward, Sherrlina Yesu Dass dan Amardeep Gill

Zaharudin Muhammad berkata itu hanyalah 'senario terburuk'.
Zaharudin Muhammad
Ketua PAS Sungai Buloh Zaharudin Muhammad berkata paling penting sekarang ialah PN merapatkan barisan.
PUTRAJAYA: Seorang pemimpin PAS Selangor menjelaskan dakwaannya berhubung Perikatan Nasional (PN) berisiko kehilangan sehingga 37 kerusi Parlimen pada PRU16 hanyalah “senario terburuk”, jika gabungan itu membuat pilihan salah.

Zaharudin Muhammad turut menafikan cadangan pelantikan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi PN baharu akan membawa kepada kekalahan sedemikian.

“Tidak semestinya jika Samsuri jadi pengerusi PN, PN akan serta-merta kehilangan 37 kerusi. Tidak.

“Ada tiga senario. Senario saya terburuk,” katanya selepas menghadiri bantahan terhadap Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Azam Baki, di sini.

Ketua PAS Sungai Buloh itu berkata, apa yang penting sekarang ialah PN merapatkan barisan.

“Perpaduan adalah penting,” katanya sambil menambah pengerusi perlu menjadi “instrumen” menyatukan semua komponen PN dan jika salah sebuah parti komponen menolak pengerusi, ia akan memecahbelahkan gabungan itu.

Bulan lalu, menantu Presiden PAS, Hadi Awang itu memberi amaran terhadap cadangan melantik Samsuri sebagai pengerusi PN baharu “tidak baik untuk PAS dan Malaysia”.

Beliau mencadangkan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebaliknya menerajui PN dan dijadikan calon perdana menteri gabungan itu untuk PRU16.

Tetapi, Tuan Ibrahim menolak kenyataan Zaharudin sebagai pendapat peribadi yang menurutnya tidak mencerminkan pendirian PAS.

Beliau turut mempertahankan Samsuri dengan memetik prestasi kerajaan Terengganu dan PAS negeri di bawah kepimpinannya.

Samsuri yang juga naib presiden PAS dilantik pengerusi PN Ahad lalu, menggantikan Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu.

Tiada ulasan: