"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Surat tunjuk sebab: Rafizi dakwa PKR mahu dia keluar parti, hilang kerusi parlimen

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim cuba menekannya untuk keluar sendiri daripada parti dan tersingkir sebagai ahli parlimen agar dia tidak perlu dipecat dan kekal sebagai wakil rakyat.

Jelas Rafizi, dia menerima surat tunjuk sebab daripada PKR yang menuduhnya mengisytiharkan keluar daripada parti apabila mengumumkan rancangan untuk bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang bukan di bawah tiket PKR.

“Dia (Anwar) nak saya isytihar keluar, kemudian Speaker dari PKR isytihar saya bukan lagi ahli parlimen. Puas hati mereka, padan muka kau,” katanya dalam kenyataan yang dikongsi di media sosial hari ini.

Sedangkan, jelas Rafizi, kenyataannya sebelum ini hanyalah perancangan apabila Dewan Rakyat dibubarkan dan dia tidak lagi terikat dengan Akta Anti-Lompat Parti.

"Setelah saya tidak lagi menjadi ahli parlimen, memang terpulang kepada saya nak buat apa.

"Selagi saya ahli parlimen dan saya tidak menghantar surat keluar dari parti, atau saya tidak mengisytiharkan saya telah menyertai parti lain, maka saya kekal sebagai anggota PKR dan Speaker tidak boleh memecat saya dari Parlimen," kata bekas timbalan presiden PKR itu.

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh untuk mendapatkan responsnya terhadap dakwaan Rafizi.

Dalam kenyataan panjang itu, Rafizi tanpa berlapik juga mengecam Anwar sebagai tidak berani memecatnya, dengan membandingkan Presiden PKR itu dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

“Kalau saya dalam Bersatu, dah lama saya kena pecat.

“Tapi Anwar, seperti yang saya pernah sebut dalam podcast, kalau boleh dia nak semua orang buat untuk dia. Apa yang saya sebut sebelum ini sebagai entitlement yang dia ada. Dia rasa hak dia supaya orang berkorban untuk dia kerana dia pemimpin besar.

“Bila sampai kepada kes saya, bila saya kritik dia, orang ingat dia akan tunjuk keberanian dengan memecat saya. Mana-mana pemimpin lain, dah lama akan pecat.

“Tapi Anwar dan PKR, dia nak suruh saya tolong selesaikan masalah itu bagi pihak dia. Sebab kalau dia pecat, maka saya akan kekal sebagai ahli parlimen,” katanya.

Rafizi merujuk kepada undang-undang antilompat parti, yang menetapkan ahli parlimen yang meletak jawatan atau berhenti menjadi ahli parti politik mereka akan dikosongkan kerusi parlimennya.

Sementara mereka yang dipecat daripada parti akan dapat mengekalkan kerusi mereka.

“Mereka (PKR) nak saya tolong masak, tolong hidang dan mereka makan. Sama seperti sebelum ini - Anwar dan PKR nak saya kerja separuh mati angkat dia, keluar masuk lokap dedahkan skandal supaya orang sokong PKR, tapi bila dia dah jadi perdana menteri, ikut suka dia nak buat apa.

“Orang Barat kata ‘he wants to have a cake and eat it too’,” tambahnya.

Salinan surat bertarikh 23 Februari yang ditujukan kepada Rafizi dan dilihat oleh Malaysiakini menunjukkan bahawa parti itu telah meminta Rafizi menjelaskan kenyataannya dalam tempoh lima hari.

Rafizi berkata dia akan membalas surat itu.

“Saya akan balas dan jelaskan seperti ini kepada Fuziah Salleh dan PKR.

“Lepas itu, kamu nak buat apa pun buatlah. Sebab saya yakin Allah melihat semuanya,” katanya.

Dalam temu bual baru-baru ini dengan Sin Chew Daily, Rafizi berkata bahawa walaupun dia berhasrat untuk mempertahankan kerusi Parlimennya dalam PRU akan datang, usahanya untuk berbuat demikian mungkin akan dilaksanakan tanpa menjadi ahli PKR.

"Saya rasa saya tidak akan bertanding sebagai calon PKR. Saya masih akan bertanding di Pandan, itu saya telah buat keputusan... Bagaimana saya akan bertanding di Pandan, saya rasa itu rahsia," katanya ketika itu.

Rafizi juga berulang kali mendakwa bahawa kerajaan menggunakan SPRM untuk menakut-nakutkannya, dengan agensi antirasuah itu memulakan dua siasatan berasingan terhadapnya.

Siasatan yang pertama melibatkan perjanjian kerajaan dengan gergasi semikonduktor British, Arm Holdings, dengan dia dituduh terburu-buru memeterai perjanjian yang didakwa menelan belanja RM1.1 bilion.

Siasatan kedua melibatkan projek tenaga solar oleh UEM Lestra, ddengan dia dituduh mengendalikan kontrak bernilai RM2.5 bilion kepada sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengannya.

Rafizi menafikan sebarang salah laku berkaitan siasatan berkenaan dan sebaliknya mengancam akan saman kerajaan sekiranya siasatan SPRM itu tidak berakhir dengan pertuduhan terhadapnya.

Tiada ulasan: