Amirul Aiman Hamsuddin

SHAH ALAM: Polis sedang memburu seorang individu yang mencuri dan menceroboh kawasan Balai Islam/Surau Batang Kali, Hulu Selangor semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kecurian kunci pendua dan cubaan menceroboh.
“Kejadian dipercayai berlaku pada jam 9.25 malam pada 22 Februari lalu. Melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang tidak dikenali bertindak mengumpil dan menggeledah raga motosikal milik jemaah yang diparkir di luar Balai Islam dengan menggunakan kayu.
“Selain itu, suspek juga dilihat cuba menceroboh masuk ke dalam Balai Islam, namun gagal kerana terdapat jemaah yang sedang menunaikan solat Tarawih,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ibrahim berkata, polis kemudian membuka kertas siasatan berhubung kejadian mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 447 KK.
“Polis kini sedang giat mengesan dan menahan suspek yang terlibat,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan