FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang budak perempuan berusia 12 tahun mengalami trauma selepas dipercayai dicabul sebelum ditinggalkan dalam keadaan hanya berpakaian dalam di kawasan semak berhampiran sekolahnya di daerah Melaka Tengah semalam.
Memetik sumber, Harian Metro melaporkan mangsa ditemukan kira-kira 7 malam dalam keadaan terbaring di dalam semak dan menangis ketakutan selepas gagal menghadiri kelas tambahan sebaik tamat waktu persekolahan pada 1.05 tengah hari.
Kehilangan kanak-kanak itu disedari gurunya yang kemudian berusaha mencari mangsa di sekitar kawasan sekolah.
Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mendapati murid itu keluar dari kawasan sekolah sekitar waktu tengah hari.
Menurut sumber, mangsa memaklumkan dia keluar sekolah selepas terlihat sebuah kereta seperti milik ibunya, namun mangsa kemudiannya beredar apabila mendapati kereta itu dipandu seorang lelaki yang tidak dikenali.
Bagaimanapun, individu tidak dikenali itu bertindak mengejarnya menyebabkan kanak-kanak itu melarikan diri ke arah semak berhampiran.
“Suspek berjaya menemukan mangsa sebelum mengarahkannya menanggalkan pakaian sekolah, menyebabkan mangsa yang ketakutan hanya tinggal berpakaian dalam,” menurut sumber.
“Mangsa mendakwa suspek menyentuh pipi serta mengambil beberapa keping gambar menggunakan telefon bimbit sebelum beredar meninggalkan dalam keadaan ketakutan di kawasan semak itu.”
Mangsa bagaimanapun berjaya ditemukan oleh ahli keluarga yang mencarinya kira-kira 7 malam sebelum dia dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
Kejadian ini disahkan oleh Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar yang memaklumkan, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Terdahulu, berita kehilangan mangsa tular di media sosial sejak semalam selepas ahli keluarganya yang mahu menjemput mangsa pulang mendapati dia tidak berada di sekolah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan