"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PKR, Rafizi sedang ‘tunggu-lihat’

Elill Easwaran

PETALING JAYA: PKR dan bekas timbalan presiden, Rafizi Ramli kelihatan terkunci dalam satu kebuntuan taktikal, di mana tiada pihak sanggup mengorak langkah pertama, kata seorang penganalisis politik.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara, berkata Rafizi dilihat sedang menyusun kedudukannya dan menunggu dipecat PKR, namun parti itu berkemungkinan besar tidak akan bertindak sedemikian dalam masa terdekat.

Katanya, dengan terus kekal dalam PKR akan menyebabkan Rafizi berada situasi tidak menentu, terutama apabila prospek berdamai dengan kepimpinan tertinggi dilihat tipis susulan kekalahannya kepada Nurul Izzah Anwar dalam perebutan jawatan timbalan presiden.

“Jika beliau dipecat, maka Rafizi boleh menuntut kedudukan moral lebih tinggi. Namun, saya tidak fikir PKR akan memberikan ‘kemewahan’ itu kepada Rafizi,” katanya kepada FMT.

“Saya rasa (pemilihan parti tahun lalu) menandakan berakhirnya perjalanannya dalam PKR. Saya tidak fikir ada jalan untuk Rafizi kembali berdamai.”

Azmi juga berkata, membiarkan Rafizi terus mengkritik kepimpinan PKR adalah lebih selamat dari segi strategi buat parti itu. PKR hanya perlu menunggu sehingga PRU akan datang apabila parti boleh memilih tidak meletakkannya sebagai calon.

Beliau berkata, pilihan terbaik PKR buat masa ini adalah dengan menelan sahaja tindakan Rafizi, memandangkan tindakan tatatertib lebih keras terhadap Ahli Parlimen Pandan itu boleh memakan diri.

Memecat Rafizi sekarang juga akan menyebabkan parti kehilangan satu kerusi di Dewan Rakyat, manakala Rafizi kekal sebagai Ahli Parlimen bebas atau menyertai parti lain.

Rafizi sebelum ini mengkritik secara terbuka terhadap presiden merangkap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaannya, termasuk isu kontroversi pegangan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Pada Ahad, Rafizi dilaporkan memberitahu Sin Chew bahawa beliau akan mempertahankan kerusi Pandan pada PRU16, namun berkemungkinan besar tidak akan bertanding sebagai calon PKR.

Beliau juga menyatakan tidak akan menyertai ‘kuasa ketiga’, menubuhkan parti baharu, atau bekerjasama dengan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Rafizi kurang sokongan akar umbi

Azmi berkata, Rafizi bakal berdepan masa sukar untuk mempertahankan kerusi Pandan bagi penggal ketiga tanpa sokongan parti seperti PKR, memandangkan beliau kekurangan sokongan akar umbi.

Beliau berkata, Khairy secara meluas lebih popular berbanding Rafizi, namun turut mengakui beliau perlu bertanding sebagai calon parti untuk menang.

“Rafizi tidak mempunyai asas politik kuat dari segi sokongan akar umbi,” kata Azmi sambil berhujah kemenangan besar Rafizi di Pandan pada pilihan raya 2013 dan 2022 sebahagian besarnya disebabkan jentera PKR.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia, menjangkakan Rafizi akan ‘menguji pasaran’ dengan cuba mempertahankan kerusinya sebagai calon bebas pada PRU16, berkemungkinan bersama sekutunya seperti bekas naib presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, populariti Rafizi terutamanya dalam kalangan pengundi bandar tidak cukup untuk diterjemahkan kepada kekuatan politik.

Mazlan juga berkata, ada kemungkinan yang semakin meningkat untuk dikenakan tindakan tatatertib ke atas Rafizi susulan kritikan berterusan terhadap Anwar dan kerajaan.

Namun, beliau berkata, PKR seharusnya hanya menunggu sehingga penggal Parlimen berakhir dan memutuskan tindak balas secara demokratik, sekiranya Rafizi muncul sebagai pencabar langsung pada PRU16.

Tiada ulasan: