Bernama
Lelaki tular itu diupah pemilik gerai air balang untuk menghasilkan video promosi.

Video berdurasi 26 saat memaparkan seorang lelaki berpakaian duyung sambil berjoget di hadapan sebuah gerai menjual air balang.
KOTA BHARU: Lelaki memakai kostum duyung di sebuah gerai menjual air balang di Pengkalan Chepa, telah ditahan pada Isnin, kata Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan.
Beliau berkata, lelaki berusia 24 tahun itu ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) di sekitar kawasan kediamannya di Chekok, Pasir Mas, susulan video tular menerusi TikTok.
“Hasil siasatan yang dijalankan, Jaheaik telah mengenal pasti individu terbabit dan membuka satu kertas siasatan mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
“Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 19 iaitu lelaki berlagak seperti perempuan serta Seksyen 21 enakmen itu iaitu membabitkan perbuatan tidak sopan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darulnaim.
Fadzli berkata, selepas proses dokumentasi dan siasatan awal, lelaki itu dilepaskan dengan bon jaminan penguatkuasaan dan diarahkan hadir semula pada 8 Jun depan bagi prosiding seterusnya.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, lelaki itu diupah sebanyak RM200 oleh pemilik gerai air balang untuk menghasilkan video promosi berkenaan, manakala pemilik gerai telah diberikan notis untuk memadam kandungan itu.
“Kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa segala perbuatan yang bertentangan dengan nilai-nilai syariah serta norma masyarakat akan ditangani secara tegas serta berhemah dan mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan Hilmi Abdullah, berkata pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan supaya memasukkan undang-undang kecil perniagaan berkaitan promosi yang tidak patuh syariah atau bertentangan adab tatasusila.
Sebelum ini, media melaporkan video berdurasi 26 saat memaparkan seorang lelaki berpakaian seperti duyung sambil berjoget di hadapan sebuah gerai menjual air balang dipercayai sebagai kandungan promosi bagi melariskan jualan.
Rakaman berkenaan tular menerusi Facebook dan menerima kecaman netizen yang menyifatkan perbuatan itu memalukan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan