"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis kesan 4 lelaki curi tabung Masjid Seksyen 7

Norzamira Che Noh

SHAH ALAM: Polis sedang mengesan empat lelaki yang dipercayai terlibat dengan kejadian curi tabung Masjid Seksyen 7 dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi semalam dengan suspek dipercayai warga tempatan menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza berwarna perak.

“Satu laporan polis mengenai kejadian tersebut diterima pada kira-kira jam 10.36 pagi semalam daripada seorang saksi iaitu lelaki tempatan berumur 30-an bekerja sebagai pengawal keselamatan masjid terbabit.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati masjid tersebut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan pihak polis akan mendapatkan rakaman kejadian dari pihak pengurusan masjid bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan kesemua suspek sedang giat dilakukan.

Katanya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Minazuddin Md Noor di talian 013-2236697 atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di talian 03-55202222 bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun, dan juga boleh dikenakan denda, dan jika bagi kesalahan kedua hendaklah dihukum dengan pemenjaraan dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan,” katanya.

Tiada ulasan: