Bernama
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah syarikat telekomunikasi (telco) kerana disyaki memberi rasuah kira-kira RM8 juta.
Suapan itu dipercayai diberikan kepada pengarah urusan kumpulan sebuah bank sebagai balasan membantu meluluskan permohonan pinjaman.
Menurut sumber, lelaki dalam lingkungan 50-an itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari tadi, ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, Putrajaya.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu pada 2012.
“Suspek juga dipercayai mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan dokumen ‘Joint Completion Guarantee’ sebagai memenuhi syarat kelulusan permohonan pinjaman berjumlah kira-kira RM400 juta untuk membiayai sebuah projek fiber optik,” katanya.
Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin, mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan