"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

3 remaja maut, 3 motosikal bertembung di Melaka

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga remaja maut manakala seorang lagi parah dalam kemalangan membabitkan tiga motosikal yang dipercayai bertembung di Jalan Tambak Paya, Melaka Tengah pada awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira 3.50 pagi itu menyebabkan dua penunggang motosikal, Muhammar Adiff Farihin Mohd Anuar, 15, Muhammad Azmi Abdul Rahimah, 16, dan seorang pembonceng, Nur Khairiah Mat Mazlin, 16, maut.

Seorang lagi penunggang motosikal, Muhammad Haziq Haikal Kassim, 18, pula cedera parah dan kini dirawat di Hospital Melaka, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, siasatan di lokasi mendapati dua motosikal dari arah Bukit Katil menghala ke Tiang Dua manakala sebuah lagi dari arah bertentangan.

“Setibanya di tempat kejadian, ketiga-tiga motosikal dipercayai bertembung secara berdepan di tengah jalan.

“Akibat pertembungan itu, dua penunggang motosikal dan seorang pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk pemeriksaan teknikal ke atas semua kenderaan terlibat di Puspakom.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Tiada ulasan: