Jason Thomas
PETALING JAYA: Bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli, terus mengkritik PKR dengan menolak dakwaan Umno menjadi penghalang utama agenda reformasi Pakatan Harapan (PH), selain menyatakan PKR ‘tidak berkesan’ mengendalikan isu berkaitan bekas timbalan presiden, Azmin Ali.
Ahli Parlimen Pandan itu sebelum ini mengkritik Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya dalam beberapa keadaan sejak meletak jawatan daripada kerajaan pada Mei lalu, dengan terbaru mengenai kontroversi pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.
Dalam temu bual dalam In The Studio di BFM hari ini, Rafizi berkata, beliau tidak melihat sebarang penentangan serius Umno di peringkat Kabinet berkait isu reformasi.
“Saya tidak fikir perkara itu benar sepenuhnya,” katanya sambil menambah Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai ‘pengaruh sangat besar’ untuk menjayakan agenda reformasi.
Bekas timbalan presiden PKR itu turut menyalahkan parti kerana teragak-agak menangani isu utama, sambil mengetengahkan cara PKR mengemudi kontroversi berkaitan Azmin yang meninggalkan parti.
Timbalan presiden PKR ketika itu, Azmin, dipecat pada 2020 kerana melanggar pendirian parti berhubung jawatan perdana menteri, dan beliau merupakan antara 11 Ahli Parlimen PKR yang beralih sokongan kepada Bersatu, dalam apa yang dikenali sebagai Langkah Sheraton.
Langkah berkenaan menyaksikan kejatuhan kerajaan PH selepas hanya 22 bulan berkuasa, serta kebangkitan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dipimpin Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
“Masalah dengan kepimpinan PKR dari semasa ke semasa adalah tidak tangkas,” kata Rafizi.
“Di belakang tabir, orang bercakap apa yang Azmin rancangkan dengan Dr Mahathir (Mohamad) dan sebagainya, tetapi tiada siapa yang mahu membangkitkan isu tersebut dan menanganinya secara langsung.”
Walaupun berterusan mengkritik, Rafizi menegaskan kerajaan sedia ada berkemungkinan besar akan kekal bertahan sehingga tamat penggal.
Beliau juga berkata, Anwar yang kini berusia 78 tahun mempunyai hak sepenuhnya untuk kekal menjadi perdana menteri bagi penggal kedua.
Rafizi berkata, Anwar yang juga menteri kewangan telah melancarkan beberapa inisiatif ekonomi utama yang memerlukan tempoh panjang untuk menunjukkan hasil.
“Saya tidak fikir kita boleh menyalahkannya (Anwar) jika pada usia 80 tahun memilih bertanding pada PRU akan datang, bermakna beliau mungkin bersara pada usia 85 tahun. Anda tidak boleh menyingkirkan kelayakannya semata-mata atas sebab itu,” kata Rafizi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan