"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja lelaki warga Indonesia didapati bersalah bunuh kekasih

Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Seorang remaja lelaki warga Indonesia didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan membunuh kekasihnya yang juga rakan senegara di sebuah ladang sawit dekat Kalabakan, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos berkata, mahkamah berpuas hati pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan, sekali gus mensabitkan tertuduh bersalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan penilaian keseluruhan bukti, mahkamah membuat kesimpulan bahawa kesalahan jelas menjurus kepada tertuduh yang membunuh mangsa.

“Mahkamah mendapati pembelaan tidak berjaya menggugat kes pendakwaan selain alibi yang dikemukakan gagal menepati beban pembuktian,” katanya ketika menyampaikan keputusan di peringkat akhir kes pembelaan, hari ini.

Mahkamah menetapkan 8 April depan bagi prosiding pendengaran laporan akhlak daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut Seksyen 90(12) Akta Kanak-Kanak 2001 memandangkan tertuduh masih di bawah umur ketika kejadian sebelum hukuman diputuskan.

Mahkamah pada 10 Disember lalu memerintahkan tertuduh membela diri selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 13 Oktober lalu, pihak pendakwaan memanggil seramai 20 saksi untuk memberikan keterangan, manakala pihak pembelaan pula menampilkan tiga saksi.

Pada 13 Ogos 2024, tertuduh pemegang pasport Indonesia berusia 13 tahun (ketika kejadian) dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan membunuh kekasihnya Nur Zahirah Safarudin, 13, antara jam 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang pada 4 Januari 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa ditemukan dalam parit di kawasan ladang berkenaan dengan kesan kecederaan di kepala.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam, Liew Hon Min.

Tiada ulasan: