ROHANA MOHD. NAWI

Anggota bomba menjalankan siasatan di kawasan letupan bom buatan sendiri di sebuah bengkel di Kampung Air Merbo Dalam, Tanah Merah hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
TANAH MERAH – Seorang mekanik putus kaki kanan selepas dipercayai terkena bom buatannya sendiri dalam kejadian di sebuah bengkel di Kampung Air Merbo Dalam di sini semalam.
Kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu menyebabkan lelaki yang berusia 31 tahun perlu ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tanah Merah sini.
Difahamkan, bom buatan sendiri yang diperbuat daripada komponen pendingin hawa kereta itu digunakan untuk menangkap ikan di sungai menggunakan kaedah bom ikan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kemahang, Mat Nuri Muhamad berkata, siasatan di lokasi kejadian mendapati, dua buah kereta jenis Perodua Kancil dan Proton Wira yang berada di dalam bengkel itu turut terkena serpihan bom berkenaan.
Menurutnya, terdahulu, pihak bomba menerima panggilan daripada polis berhubung letupan bom tersebut kira-kira pukul 11.15 pagi tadi untuk menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
“Siasatan di kawasan bengkel itu mendapati, ada ada kesan pada tanah di lokasi kejadian seperti letupan bom. Kejadian itu disyaki berlaku akibat letupan bom buatan sendiri.
“Pemeriksaan di kawasan bengkel itu memberi petunjuk bahawa letupan berlaku akibat daripada kemungkinan mangsa terpijak penyambungan wayar pada bom buatannya sendiri,” katanya
Mat Nuri memberitahu, siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar letupan tersebut diserahkan kepada pihak polis. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan