N Faizal Ghazali

Satu lagi kes kuota petrol subsidi Budi Madani RON95 (Budi95) ‘lesap’ disyaki digunakan pihak lain dilaporkan berlaku apabila seorang usahawan dari Kelantan menyedari baki kuotanya berkurangan secara mendadak.
Mohd Fahdli Noor, 39, berkata dia terdetik untuk membuat semakan rekod transaksi di laman web Budi Madani dan mendapati kuota Budi95 miliknya hanya berbaki 78 liter untuk bulan ini (April).
Berdasarkan semakan katanya, terdapat dua transaksi yang tidak pernah dibuat olehnya namun direkod berlaku di sebuah stesen minyak di Tumpat, Kelantan pada 5 April.
“Sedangkan pada tarikh dan masa transaksi itu dibuat, saya berada di Kuantan. Saya tak pernah isi petrol di stesen minyak tersebut.
“Kad pengenalan saya juga tidak pernah hilang. Jadi bagaimana penyelewengan ini boleh berlaku pada saat kita semua perlu menjaga bekalan minyak negara,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Minggu lalu Malaysiakini melaporkan kes sama berlaku terhadap seorang wanita dari Sepang, Selangor.
Sehingga hari ini, tiada perkembangan lanjut berhubung kes berkenaan melainkan pihak Budi Madani hanya membalas emel aduan dan memaklumkan kes akan disiasat oleh pihak berkuasa.
Sementara itu Mohd Fadhli berkata, baki kuota petrol bersubsidi miliknya kini hanya tinggal 78 liter selepas transaksi masing-masing berjumlah 22 liter dan 100 liter dibuat pihak lain.
“Saya biasanya membeli petrol untuk kegunaan motosikal kerana banyak urusan perniagaan menggunakan kenderaan berenjin diesel.
“Saya memandang serius penyelewengan yang dilakukan oleh mana-mana individu. Perbuatan ini tidak boleh dibiarkan.
“Saya mambuat laporan kepada pihak berkuasa hari ini dan berharap mereka yang bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan,” katanya.
Dia turut mempersoalkan bagaimana pembelian melalui Budi95 boleh dilakukan tanpa menggunakan kad pengenalan oleh pihak lain.
“Saya harap pihak berkuasa menyiasat kes ini dengan serius termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan.
“Kita risau aktiviti ini berleluasa dilakukan oleh sindiket penyeludupan dengan bersubahat dengan pihak tertentu yang mempunyai akses terhadap maklumat peribadi orang ramai,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan