MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Lokasi kejadian seorang lelaki cedera ditembak di depan UiTM Cawangan Machang, Machang semalam. Foto IHSAN PEMBACA
MACHANG – Tindakan seorang lelaki memiliki sembilan rekod jenayah yang cuba membunuh anggota polis dengan melibas sebilah parang membawa padah apabila suspek cedera pada bahagian pahanya selepas ditembak dalam kejadian di depan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang di sini semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 11.17 malam semasa sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah.
Menurutnya, semasa pemeriksaan dijalankan terhadap dua lelaki yang berada dalam keadaan mencurigakan, salah seorang daripada mereka bertindak agresif dengan mengeluarkan sebilah parang sebelum melibas senjata tersebut ke arah anggota polis.
“Anggota polis bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek bagi mempertahankan diri dan mengelakkan kecederaan serius.
“Kedua-dua suspek melarikan diri sebelum salah seorang daripada mereka yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan dalam satu operasi segera di kawasan berhampiran,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, suspek yang ditahan mengalami kecederaan pada bahagian paha dan kini berada dalam keadaan stabil semasa dirawat di hospital.
Menurutnya, anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati, suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah, ugutan jenayah, senjata berbahaya, menghalang tugas penjawat awam, keganasan rumah tangga, menerima harta curi, mendatangkan kecederaan dan pencerobohan jenayah
“Kesemua rekod itu menunjukkan suspek mempunyai latar belakang jenayah yang serius dan berulang,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan