"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga asing tular mengamuk di KLIA sudah ditahan, didakwa

Bernama

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun yang merosakkan kemudahan awam serta mencederakan anggota keselamatan dalam satu kejadian tular di Terminal 2 (T2) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini, telah ditahan dan didakwa di mahkamah.

Ketua Polis KLIA, M Ravi, berkata tangkapan dibuat anggota IPD KLIA kira-kira 10.30 pagi di lokasi kejadian, ketika individu berkenaan sedang menunggu penerbangan transit ke Hatyai, Thailand.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek telah terlepas penerbangan dan berselisih faham dengan isterinya berkaitan isu penjagaan anak.

“Semasa kejadian, suspek telah bertindak secara agresif dengan menghentak cermin kaunter, mengetuk papan tanda penerbangan hingga patah, membaling botol minuman ke arah kaunter dan mencederakan anggota keselamatan yang bertugas semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek juga telah mengaku bersalah di Mahkamah Sepang pada 7 April dan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Selain itu, suspek turut didakwa di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil yang membawa hukuman denda sehingga RM100,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar mematuhi arahan pihak keselamatan yang bertugas dan tidak mengambil tindakan yang boleh menyebabkan berlaku kegusaran di tempat awam khususnya semasa berada di kedua-dua terminal KLIA.

Baru-baru ini, tular video di media sosial memaparkan seorang lelaki warga asing mengamuk serta merosakkan papan tanda di kaunter T2 KLIA, selain bertindak agresif terhadap anggota keselamatan.

Video berdurasi kira-kira seminit itu memaparkan seorang lelaki warga asing kelihatan sedang menolak beberapa anggota keselamatan hingga menyebabkan salah seorang petugas terjatuh ke lantai.

Tiada ulasan: