"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

11 warga Indonesia ditahan samun bersenjata

BERNAMA

Georgetown: Polis menahan 11 warga Indonesia termasuk dua wanita kerana disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di rumah kongsi di sekitar Pulau Pinang.

Ketua Polis negeri Datuk Azizee Ismail berkata, kesemua suspek ditahan dalam Ops Rantau Kongsi di beberapa lokasi di Chemor, Perak dan Seberang Perai Tengah (SPT), dekat sini pada semalam dan hari ini hasil risikan dan initipan yang dijalankan.

"Dalam siri serbuan itu, polis menahan sembilan lelaki dan dua wanita berusia 22 hingga 38 tahun selain turut merampas barangan dipercayai milik mangsa antaranya barang kemas, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM2,770.

"Selain itu, polis turut merampas senjata termasuk parang, pisau dan pengikat kabel yang dipercayai digunakan kumpulan tersebut untuk melakukan kegiatan samun bersenjata," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan itu ialah menyasarkan warga asing yang tinggal di rumah kongsi di tapak pembinaan dan bertindak menyamun dengan bersenjatakan parang, memakai topeng muka serta mengikat tangan dan kaki mangsa menggunakan pengikat kabel.

Azizee berkata, susulan tangkapan semua suspek, polis percaya berjaya menyelesaikan satu kes samun berkumpulan yang dilaporkan berlaku 1.30 pagi semalam di Seberang Perai Selatan (SPS) melibatkan kerugian barang kemas, telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM35,000.

Beliau berkata, secara keseluruhan, polis berjaya menyelesaikan lima kes samun berkumpulan, iaitu satu kes di Seberang Perai Utara dan masing-masing dua kes di SPT dan SPS ekoran penahanan 11 individu tersebut

"Semakan rekod mendapati hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan imigresen manakala yang lain tiada rekod jenayah," katanya.

Beliau berkata, semua mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 serta 397 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: