Qistina Nadia Dzulqarnain & Zikri Kamarulzaman
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli dikatakan terlibat dalam satu lagi skandal, kali ini melibatkan dakwaan rasuah bernilai RM500,000.
Bagaimanapun Rafizi, pihak yang didakwa menjadi proksinya, serta syarikat NexG Bhd (NexG), secara berasingan menafikan dakwaan tersebut.
Tuduhan berkenaan - yang diterbitkan dalam laporan dimuat naik hari ini oleh sebuah laman web dikenali sebagai Malaysia Corporate - mendakwa syarikat Datasonic Group Bhd (kini dikenali sebagai NexG) cuba melobi Putrajaya untuk melanjutkan kerja sedia ada yang berkaitan dengan pasport dan MyKad.
Mereka merupakan pemegang utama kontrak kerajaan.
Laporan itu mendakwa seorang eksekutif NexG meminta sokongan Rafizi untuk meyakinkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberikan lanjutan tersebut.
Dia didakwa "mengancam" kerajaan semasa membuat tuntutan berkenaan.
Untuk rekod kontrak melibatkan pengeluaran pasport dan MyKad terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, bukannya Kementerian Ekonomi.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama eksekutif yang disebut dalam laporan berkenaan sementara menunggu komen individu terbabit.
Laporan itu mendakwa sebagai sebahagian daripada urusan mendapatkan sokongan Rafizi, eksekutif NexG bertemu dengan ahli perniagaan, Harizan Haris, yang dikatakan sebagai rakan rapat bekas menteri ekonomi berkenaan.
Eksekutif NexG dan Harizan juga didakwa bertemu dengan seorang pegawai yang bertugas di Kementerian Ekonomi pada masa itu.
Malaysiakini telah menghubungi kementerian terbabit untuk mendapatkan komen.
Anggap sebagai blog hantu
Laporan itu selanjutnya mendakwa pada Ogos 2023, Harizan mengeluarkan invois kepada NexG untuk projek yang tidak wujud. Invois itu kononnya digunakan sebagai perlindungan untuk memindahkan RM200,000 dalam dua transaksi kepada Rafizi melalui ahli perniagaan berkenaan.
Artikel itu juga mendakwa bahawa wang tunai RM300,000 telah diberikan kepada Harizan untuk diberikan kepada Rafizi pada masa yang tidak ditentukan.
Rafizi pula didakwa meminta dana untuk pemilihan PKR yang berlangsung pada 2025.
Dalam pemilihan PKR yang diadakan dua tahun selepas wang itu didakwa diminta, pendirian awal parti itu adalah untuk mengekalkan Anwar dan Rafizi masing-masing sebagai presiden dan timbalan presiden.
Bagaimanapun, pada awal Mei keadaan berubah apabila Nurul Izzah Anwar bertanding mencabar Rafizi dan kempen untuk bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu digerakkan.
Laporan itu kemudian cuba mengaitkan perkembangan itu dengan NexG - yang kemudiannya Datasonic - yang dianugerahkan projek mesin layan diri di bawah Kementerian Ekonomi untuk program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).
Pada 2024 dilaporkan bahawa projek penyewaan mesin layan diri itu dijalankan melalui tender terbuka, dengan beberapa vendor dipilih.
Di samping itu, laporan berkenaan mendakwa eksekutif syarikat terbabit juga memberi Rafizi RM40 juta daripada hasil pengambilalihan korporat firma lain.
Menjawab dakwaan tersebut melalui catatan media sosial hari ini, Rafizi melabelkan laman web yang menerbitkan artikel itu sebagai "blog hantu" sambil menegaskan bahawa "gaya naratif" yang dipaparkan itu bertujuan untuk merosakkan reputasinya.
Mendakwa tidak pernah bertemu Harizan, Rafizi berkata kali pertama dia mendengar nama ahli perniagaan terbabit ialah pada 2 Dis tahun lalu dalam pertemuan dengan seorang menteri PKR.
"Dalam pertemuan itu, beliau (menteri terbabit) memberi bayangan saya ada kes rasuah yang jika keluar akan malu besar.
"Saya tanya dia, kes yang mana atau apa buktinya? Cerita inilah yang disebut, lalu ditunjukkan kononnya invois bayaran daripada NexG kepada saya.
"Saya cakap: 'Mana ada orang bagi rasuah keluarkan resit? Itu tak cerdik namanya.'
Komen lanjut Jumaat ini
Malaysiakini tidak mendedahkan nama menteri berkenaan bagi menunggu reaksinya.
Ahli Parlimen Pandan itu menyifatkan invois yang ditunjukkan kepadanya oleh menteri berkenaan sebagai invois yang mencatatkan pembayaran RM500,000 daripada Harizan dan syarikat yang berkaitan dengannya (Syarikat B).
Ketika itu, kata Rafizi, dia memberitahu menteri terbabit: "Saya tak pernah kenal mereka ini.”
"Besar kemungkinan, ini cerita biasa dari Putrajaya - ada ahli perniagaan cuba cari jalan, ada scammer yang mengaku macam-macam.
"Apabila ada yang mengkritik macam saya, watak-watak ini dibawa bersama untuk mencipta satu fitnah," katanya.
Dia juga mengingatkan ahli PKR bagaimana mereka suatu ketika dulu menyertai parti berkenaan berpunca daripada fitnah melampau.
"Jangan sekarang, fitnah yang keterlaluan kerana terdesak menyebabkan rakyat menolak PKR dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Pada masa sama Rafizi memberitahu dia akan menangani dakwaan terhadapnya dengan lebih lanjut dalam audio siar seterusnya Jumaat ini.
Jumaat lalu, semasa audio siar yang menampilkan Malaysiakini, Rafizi ditanya sama ada dia pernah didekati oleh pihak yang dikenali sebagai mafia korporat.
Rafizi berkata, NexG sejak awal lagi meminda untuk bertemu dengannya tetapi ditolak.
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Harizan berkata, seumur hidupnya dia tidak pernah bertemu Rafizi dan menegaskan bahawa urusannya dengan kerajaan semata-mata berkaitan dengan hal-hal berkaitan projek lain di kementerian lain.
Katanya, dia tidak mempunyai sebarang urusan perniagaan langsung dengan NexG yang sebelum itu bertanya mengenai perkhidmatan pengurusan berkaitan IT yang berkaitan dengan bidang mereka.
"Saya sendiri bukanlah seorang pengarah yang kaya-raya mahupun aktif dalam bab-bab begini, dan saya sudi memberi kerjasama penuh (kepada sebarang kemungkinan siasatan) sebab saya memang tak terlibat langsng," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan