"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

41 bangkai kucing ditemui di pangsapuri, 36 lagi kritikal

Buletin TV3 

SUBANG JAYA: Bau busuk di sebuah blok pangsapuri di sini, membongkar penemuan 41 bangkai kucing dipercayai mati akibat pengabaian di sebuah unit kediaman, semalam.

Selain bangkai, Kosmo melaporkan pihak berkuasa turut menyelamatkan 36 ekor kucing lain, yang berada dalam keadaan kritikal.

Difahamkan, premis dijadikan pusat perlindungan haiwan tidak rasmi itu amat kotor dan tidak terurus, manakala bangkai haiwan ditemui bergelimpangan dalam sangkar serta atas lantai tanpa bekalan makanan mahupun air.

Menurut sumber, 36 kucing yang diselamatkan mengalami dehidrasi teruk, dengan badan kurus kering dan menghidap pelbagai jangkitan penyakit akibat persekitaran tercemar dengan sisa najis.

Jurucakap kumpulan penyelamat haiwan berkata, pemandangan dalam unit kediaman terbabit sangat menyedihkan, dengan kebanyakan kucing yang masih hidup dalam keadaan trauma dan terlalu lemah untuk bergerak.

Difahamkan, unit berkenaan disewa seorang individu atas alasan mahu menyelamatkan haiwan jalanan, namun situasi menjadi luar kawalan sehingga membawa kepada kematian haiwan terbabit.

Kes kini disiasat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan pihak polis mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman denda tinggi atau penjara, atau kedua-duanya sekali kerana penganiayaan dan pengabaian haiwan.

Semua kucing terselamat kini ditempatkan di klinik veterinar dan pusat perlindungan sementara bagi menjalani rawatan rapi serta proses pemulihan.

Tiada ulasan: