Buletin TV3
ABU DHABI: Polis Abu Dhabi menahan 375 individu kerana merakam video atau “menyebarkan maklumat palsu” ketika konflik di Asia Barat yang menyaksikan Tehran melancarkan siri serangan ke atas beberapa Negara Teluk.
Penahanan terbaharu itu diumumkan pihak berkuasa Abu Dhabi ketika negara-negara Teluk memperketat tindakan terhadap penyebaran rakaman dan hantaran berkaitan serangan Iran sepanjang konflik yang tercetus susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
“Polis Abu Dhabi mengumumkan penahanan 375 individu daripada pelbagai kewarganegaraan kerana merakam di lokasi berbeza dan menyebarkan maklumat palsu berkaitan perkembangan semasa di platform media sosial,” menurut kenyataan polis di platform X.
Menurut kenyataan itu, kesemua individu terbabit telah dirujuk kepada pihak Pendakwa Raya.
Langkah sama turut dilaksanakan di seluruh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa Negara Teluk, ketika Iran melancarkan serangan ke atas aset Amerika Syarikat serta infrastruktur awam termasuk mercu tanda, kemudahan minyak dan gas, lapangan terbang serta kawasan kediaman.
Beberapa Negara Teluk menanggung kesan utama serangan Iran sebagai tindak balas terhadap kempen ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel, dengan serangan berterusan meskipun gencatan senjata rapuh selama dua minggu diumumkan. — AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan