MUHAMMAD NAJIEB AHMAD FUAD

DBKL ketika melakukan pemeriksaan terhadap individu dalam Op lens di sekitar KLCC, Sabtu lalu. FOTO DBKL
KUALA LUMPUR – Kegiatan ‘ulat foto’ yang menawarkan perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran di sekitar kawasan tumpuan awam KLCC digempur menerusi operasi bersepadu ‘Op Lens’, Sabtu lalu.
Operasi itu dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memantau serta mengambil tindakan terhadap individu yang menjalankan aktiviti tersebut secara terbuka.Harga Minyak
DBKL dalam kenyataan berkata, hasil operasi berkenaan, sebanyak empat notis kompaun telah dikeluarkan terhadap individu yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran.
“Selain itu, enam tindakan sitaan turut dilakukan membabitkan pelbagai peralatan jurufoto dan daripada jumlah itu, dua individu yang terlibat adalah bukan warga negara.
“Tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2016,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan lanjut oleh JIM dan JPN ke atas enam individu terbabit mendapati empat daripadanya telah diberikan surat akuan penahanan dokumen oleh JPN bagi tujuan siasatan lanjut.
“Tindakan tersebut diambil di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959 melalui Peraturan 21(1)(c), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) bagi mengesahkan kesahihan dokumen pengenalan diri serta status kerakyatan individu-individu berkenaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, DBKL menegaskan bahawa ruang awam adalah milik bersama dan perlu digunakan secara beretika serta mematuhi peraturan sedia ada.
“Aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah turut menimbulkan risiko keselamatan kepada pengunjung.
“Sebahagian kegiatan ini dijalankan di atas jalan raya atau laluan pejalan kaki yang boleh membahayakan jurugambar dan pelancong serta mengganggu kelancaran lalu lintas,” katanya.
Tambah kenyataan itu, DBKL akan terus memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan bandar kekal selamat, teratur dan harmoni.
Orang awam juga boleh menyalurkan sebarang aduan atau maklum balas melalui saluran rasmi DBKL di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan