"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Arah wartawan padam gambar: Polis nak tutup apa tu?

Polis KL akui arah padam gambar, dakwa salah faham dengan media
Haspaizi Zain

Polis Kuala Lumpur mengakui berlaku salah faham antara anggotanya dan petugas media ketika siasatan kes serangan terhadap sebuah pusat hiburan di Cheras baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus menjelaskan perkara itu akan ditangani secara baik antara kedua-dua pihak.

"Dalam polis melaksanakan tugas operasi ada sedikit salah faham polis arah (wartawan) padam gambar, saya sahkan perkara itu berlaku.

"Peranan polis dan media saling melengkapi, polis jalan tugas wartawan juga jalankan tugas kadangkala ada berlaku conflict of interest.

"Apa yang saya nak, isu sebegini selesai secara baik (kerana) masing-masing ada peranan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di ibu negara hari ini.

Sehubungan itu, Fadil berkata satu perbincangan akan diadakan antara polis dan pengamal media bagi memperjelas prosedur serta mengelakkan insiden sama berulang.

Sebelum ini, akhbar Sin Chew melaporkan tiga wartawan yang membuat liputan susulan insiden rusuhan berkenaan diarahkan memadam gambar yang dirakam ketika bertugas.

Kejadian itu berlaku apabila seorang wartawan wanita dihampiri dua anggota polis berpakaian preman yang memeriksa telefon bimbitnya sebelum membawanya ke dalam premis berkenaan untuk disoal siasat berkaitan rakaman ketika pasukan forensik menjalankan tugas.

Wartawan tersebut hanya dibebaskan selepas diarahkan memadam semua foto dan video yang dirakam di lokasi kejadian.

Dalam perkembangan sama, seorang pegawai penyiasat (IO) turut didakwa meminta dua lagi wartawan memadam bahan rakaman mereka.

Susulan kejadian itu, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) tampil mengkritik tindakan berkenaan.

Kedua-dua organisasi media itu menyuarakan kebimbangan terhadap dakwaan tindakan anggota polis yang dilihat menghalang tugas pengamal media.

Secara berasingan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meluahkan kekesalan terhadap insiden melibatkan polis dan pengamal media itu, sambil menegaskan wartawan mesti diberi ruang sepenuhnya untuk menjalankan tugas.

“Saya belum diberikan maklumat sepenuhnya apa yang telah berlaku, tapi saya akan berhubung dengan pihak PDRM untuk mendapatkan kepastian,” kata jurucakap kerajaan itu ketika diminta mengulas dalam sidang media selepas mesyuarat kabinet mingguan di Putrajaya.

“Secara dasarnya wartawan perlu diberikan ruang sepenuhnya untuk melaksanakan tugas selagimana mereka memperkenalkan diri mereka sebagai seorang wartawan yang bertugas," kata menteri itu lagi.

Mengulas siasatan kes rusuhan tersebut, Fadil berkata kejadian itu didalangi kumpulan kongsi gelap yang dipercayai diupah pihak tertentu.

Menurutnya, insiden berkenaan berpunca daripada salah faham perniagaan serta dendam lama.

Setakat ini, seramai 45 individu telah ditahan, termasuk dua pelajar sekolah.

Katanya, tangkapan melibatkan lelaki tempatan dengan majoriti berbangsa Cina, selain turut membabitkan individu India dan Melayu.

"Penahanan dilakukan di sekitar Lembah Klang dan luar Lembah Klang, ada lagi yang terlibat masih belum ditangkap," katanya lagi.

Tiada ulasan: