"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

SPRM akan mohon notis merah Interpol terhadap 2 anak Daim

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memohon notis merah Interpol terhadap dua anak lelaki bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, selepas mereka gagal tampil di ibu pejabat agensi antirasuah itu untuk memberikan keterangan.

SPRM berkata, pihaknya memandang serius ketidakhadiran Amir Zainuddin dan Amin Zainuddin, khususnya selepas peguam mereka menyatakan komitmen dan persetujuan bahawa anak guam mereka akan hadir.

“Namun demikian, mereka sekali lagi gagal berbuat demikian tanpa sebarang alasan yang munasabah,” kata SPRM dalam satu kenyataan.

SPRM memaklumkan, bekas peguam Josephine Premla Sivaretnam, yang didakwa sebagai sekutu Daim, juga gagal hadir ke ibu pejabat SPRM hari ini walaupun telah diarahkan berbuat demikian.

Agensi itu berkata, beliau gagal memberikan alasan yang memuaskan berhubung ketidakhadirannya.

Menurut SPRM, ketiga-tiga mereka akan berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 48(c) Akta SPRM 2009, yang menjadikannya satu kesalahan jika gagal mematuhi arahan pegawai SPRM untuk hadir bagi dirakam keterangan.

“SPRM menegaskan bahawa sebarang kegagalan mematuhi arahan sah agensi ini tidak akan dilayan dengan toleransi, dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan tanpa pengecualian,” katanya.

Selain notis merah Interpol, SPRM berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk menyekat dan memantau pergerakan ketiga-tiga individu tersebut.

Notis merah Interpol ialah permohonan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang di seluruh dunia untuk mengesan dan menahan sementara seseorang individu sementara menunggu proses ekstradisi, penyerahan diri atau tindakan undang-undang yang serupa.

SPRM memaklumkan seorang lagi anak lelaki Daim, Wira Dani, telah memaklumkannya lebih awal berhubung ketidakhadirannya, manakala anak perempuan Daim, Asnida, bekerjasama dengan SPRM dengan memberi keterangan kepada pegawainya hari ini.

Bagaimanapun, agensi itu mengesahkan bahawa Asnida akan didakwa di mahkamah esok mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM, yang berkaitan dengan kegagalan mematuhi notis pengisytiharan harta yang dikeluarkan oleh SPRM.

Agensi antirasuah itu sebelum ini mengeluarkan notis pencarian awam untuk mengesan empat anak Daim, yang kesemuanya dijangka hadir untuk dirakam keterangan oleh SPRM di ibu pejabatnya hari ini.

SPRM menyenaraikan alamat kediaman terakhir mereka yang diketahui dalam notis pencarian awam berkenaan, namun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatannya.

Tiada ulasan: