KOSMO!

Keadaan bilik mangsa yang terbakar. - Tribunnews
JAKARTA – Seorang lelaki di Jepara, wilayah Jawa Tengah membakar bekas isteri dan ibu mentuanya hidup-hidup selepas mendapat tahu bahawa wanita itu ingin berkahwin lain, lapor portal berita Lambe Turah.
Kejadian berlaku Jumaat lalu pada pukul 1.45 pagi (waktu tempatan) apabila kedua-dua mangsa sedang tidur.
“Suspek masuk secara diam-diam ke bilik mangsa dan mendapati bekas isterinya itu sedang tidur bersama bekas ibu mentuanya,” kata Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Jepara, Asisten Komisioner M Faizal Wildan Umar Rela.
Tambah Faizal,W kemudian menyiram minyak petrol ke atas kedua-dua mangsa sebelum menyalakan api menggunakan kayu yang dibalut dengan kain.
Dalam masa sekejap, api marak di seluruh bilik.
“Jeritan kedua-dua mangsa mengejutkan jiran-jiran yang dengan segera bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Akibat kejadian ini, kedua-dua mangsa mengalami melecur teruk yang meliputi 90 peratus badan mereka. Mereka dikejarkan ke hospital untuk rawatan rapi,” tambah Faizal.
Ujarnya lagi, berdasarkan hasil siasatan awal, motif di sebalik perbuatan itu adalah cemburu yang mendalam.
“Suspek tidak dapat menerima kenyataan bahawa bekas isterinya merancang untuk berkahwin lain,” tambah Faizal.
Sementara itu, laman berita Muria News melaporkan, suspek meninggal dunia hari ini selepas beberapa hari dirawat di hospital akibat cuba mengambil nyawanya sendiri. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan