Ahmad Hasbi
KUALA PILAH: Perselisihan faham keluarga menjadi punca dua beradik bergaduh menggunakan parang sehingga mendatangkan kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superitendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian berlaku jam 3.49 petang semalam di Taman Air Mawang, Johol di sini.
Menurutnya, polis menerima maklumat awal berkaitan kejadian itu, melalui panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan berlaku pergaduhan di sebuah rumah.
“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berpunca perselisihan faham dalam kalangan ahli keluarga berkaitan urusan peribadi,” katanya.
Menurutnya, mangsa lelaki berusia 27 tahun, dipercayai pergi ke rumah keluarganya di lokasi kejadian sebelum berlaku pertengkaran dan pergaduhan.
Jelas beliau, seorang lelaki yang juga abang kepada mangsa, bertindak membawa sebilah parang dan menyerang mangsa.
“Tindakan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara mereka dan kedua-duanya cedera.
Mangsa mengalami kecederaan di bahagian pergelangan tangan kiri dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), di sini.
“Manakala suspek utama mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya.
Tambahnya, suspek ditahan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah di talian 06-4842999 atau boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Supiah Ishak di talian 019-9933978.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan