Amira Suraini Che Mohamad

SUNGAI PETANI: Dua lelaki tempatan ditahan ketika sedang leka memindahkan diesel haram di kawasan lapang Kebun Tebu, Pekan Lama, di sini, semalam.
Serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah pada jam 5 petang itu mendapati, suspek berusia lingkungan 40-an dan 60-an itu sedang memindahkan diesel daripada lori kargo ke lori tangki tanpa permit.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, kedua-dua suspek tidak mempunyai permit atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan.
“Sehubungan itu, KPDN Alor Setar telah menyita diesel dianggarkan sebanyak 4,000 liter dengan nilai RM24,080, satu unit lori kargo, satu unit lori tangki, tiga unit tong IBC serta peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak diesel.
“Nilai sitaan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM176,680,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), yang memperuntukkan denda sehingga RM1 juta atau pejara tiga tahun bagi individu.
Menurutnya, operasi ini sebahagian daripada OPS Tiris 4.0 yang telah melakukan 5,632 pemeriksaan dan 21 tindakan kes dengan sitaan melebihi RM875,893.
KPDN menegaskan, bahawa sebarang cubaan menyalahgunakan barang kawalan atau membuat penyeludupan bahan api akan dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan