AFP
New Delhi: Sembilan anggota polis di India dijatuhkan hukuman mati atas penyeksaan dan pembunuhan seorang bapa dan anaknya pada 2020.
Kes itu membabitkan peniaga Jeyaraj, 59, dan anaknya Benniks, 31, yang ditahan kerana didakwa melanggar peraturan sekatan Covid-19.
Menurut kenyataan Biro Siasatan Pusat (CBI) pada 7 April, Hakim daerah tambahan di Madurai, Tamil Nadu mendapati, pegawai polis berkenaan bersalah dalam kematian di bawah jagaan mereka.
Mahkamah menegaskan, kes ini adalah contoh jelas penyalahgunaan kuasa dan termasuk dalam kes teramat jarang.
Difahamkan, kedua-dua lelaki itu ditahan oleh pegawai polis dari sebuah balai dan didakwa diseksa dengan kejam.
Laporan media menyatakan, kedua-dua lelaki itu ditangkap kerana membuka kedai telefon bimbit melebihi waktu dibenarkan semasa sekatan pergerakan.
Susulan itu, kemarahan rakyat mendorong kerajaan Tamil Nadu memindahkan kes kepada CBI.
CBI mendakwa, sembilan pegawai itu dalam tempoh 90 hari dan menyoal lebih 50 saksi sepanjang perbicaraan.
Agensi itu berhujah pembunuhan berkenaan 'menggugat hati nurani rakyat', justeru wajar dikenakan hukuman paling berat.
Kesemua sembilan tertuduh disabitkan dengan kesalahan membunuh dan memusnahkan bukti.
Difahamkan, India melaksanakan hukuman gantung, walaupun jarang dilakukan.
Pelaksanaan hukuman terakhir berlaku pada Mac 2020, apabila empat lelaki yang disabitkan kes rogol berkumpulan dan pembunuhan seorang wanita di Delhi digantung, dalam kes yang mencetuskan protes besar-besaran di seluruh negara.
-Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan