Kampung haram dalam hutan di Setia Alam terbongkar, 214 PATI ditahan

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin (tiga dari kanan) memeriksa dokumen sebahagian warga asing yang ditahan dalam Ops bersepadu di sekitar Setia Alam, Shah Alam – Foto NSTP
Oleh: Mohd Haris Fadli Mohd Fazil
SHAH ALAM: Seramai 214 pendatang asing tanpa izin (PATI) dikesan di tiga perkampungan haram yang berselindung di tengah ladang kelapa sawit di sebalik kawasan berbukit di Setia Alam.
Helah itu terbongkar apabila sepasukan pegawai Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain menggempur perkampungan haram itu menerusi Ops Bersepadu Mega, tengah malam tadi.
Wartawan yang mengikuti operasi mendapati pasukan serbuan terpaksa mendaki kawasan berbukit-bukau sejauh kira-kira 400 meter sebelum sampai ke perkampungan haram itu.
Dalam usaha menangkap PATI terbabit, pasukan serbuan bukan sahaja perlu berdepan dengan kawasan persekitaran yang berbukit dan gelap malah berhadapan risiko haiwan berbisa.
Tinjauan di lokasi mendapati koloni warga asing itu walaupun terpencil, lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuk surau, kedai runcit malah barangan bersubsidi seperti tong gas dan diesel malah mempunyai bekalan elektrik serta air.
Turut kelihatan beberapa sangkar ayam yang difahamkan kemungkinan berlaku aktiviti sabung ayam selain laluan tikus turut dikesan di sekitar kawasan itu dipercayai digunakan untuk melarikan diri sekiranya diserbu pihak berkuasa.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, ketiga-tiga penempatan itu dipercayai sudah wujud sejak lima ke sembilan tahun.
Katanya, secara keseluruhan pihaknya memeriksa 356 warga asing dalam operasi bersepadu itu dan menahan 214 disyaki PATI.
“Hasilnya, 214 disyaki PATI ditahan membabitkan 120 lelaki, 65 wanita, 16 kanak-kanak lelaki serta 13 kanak-kanak perempuan berusia satu bulan hingga 80 tahun.
“Semakan awal tangkapan membabitkan warga Indonesia, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan Sri Lanka,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini, hari ini.
Menurutnya, rata-rata warga asing terbabit bekerja sebagai buruh serta pekerja pembersihan sekitar kawasan itu dan tidak menolak kemungkinan kampung haram itu memiliki ‘penjaga’ berperanan sebagai ketua yang memungut sewa bulanan.
Katanya, operasi itu dijalankan dengan bantuan Imigresen Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan