"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi pertahan Langkah Kajang, 'Saya tak menyesal', katanya

Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, membidas kenyataan bekas setiausaha politik kepada allahyarham Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin, yang menyifatkan nasib politiknya sebagai “kifarah” atau pembalasan.

Menjawab kritikan Faekah, Rafizi berkata dia tidak menyesal merancang melakukan langkah politik tersebut.

"I have no regret. If I go back to 2014 I would have done exactly the same thing. (Saya tidak menyesal. Jika kembali ke tahun 2014, saya akan lakukan perkara yang sama,” katanya dalam episod podcast bersama Malaysiakini.

Langkah Kajang merujuk kepada tindakan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang bagi memberi lauan kepada pilihan raya kecil sebagai langkah awal untuk menyingkirkan Khalid daripada jawatan menteri besar.

Ketika itu, ketua umum PKR, Anwar Ibrahim, sepatutnya menjadi calon, namun dihalang oleh keputusan Mahkamah Rayuan yang mensabitkannya atas pertuduhan liwat.

Isterinya, Wan Azizah Wan Ismail, kemudian bertanding dan dicalonkan sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Khalid, sebelum jawatan itu akhirnya diberikan kepada Azmin Ali, yang ketika itu merupakan Timbalan Presiden PKR.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata langkah tersebut perlu bagi melindungi integriti PKR susulan penyelesaian luar mahkamah Khalid yang mencetuskan kontroversi dengan Bank Islam Malaysia Berhad berhubung pinjaman AS$18.5 juta yang cuba dituntut semula oleh bank itu.

Terdapat kekeliruan dalam penukaran nilai AS$18.5 juta tersebut, namun kadangkala dirujuk sekitar RM70 juta termasuk faedah.

Rafizi berkata persepsi dia dan beberapa pemimpin PKR lain, termasuk Saifuddin Nasution Ismail, adalah bahawa penyelesaian itu menjejaskan kedudukan Khalid, terutama kerana proses perjanjian tersebut tidak dijelaskan dengan baik.

Dia turut menafikan dakwaan – termasuk oleh Faekah – bahawa tujuan Langkah Kajang adalah untuk menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar Selangor.

“Langkah Kajang bukan dimulakan untuk menjadikan Anwar sebagai Menteri Besar, tetapi berkaitan isu integriti melibatkan RM70 juta (penyelesaian).

“Namun atas sebab tertentu, naratif itu berjaya diubah sehingga dilihat sebagai usaha menyingkirkan Khalid dan menggantikannya dengan Anwar,” katanya.

"Langkah Kajang bermula is not about Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar, is about integriti bila soal RM70 juta..tapi for whatever reason narratif tu akhirnya berjaya ditukar seolah-olah ini untuk buang Tan Sri Khalid gantikan dengan Anwar Ibrahim," katanya.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata pemikiran yang sama turut mendorong usahanya kini dalam membongkar skandal yang digelar “mafia korporat”.

Dia menegaskan bahawa garis integriti adalah jelas dan negara tidak boleh mengamalkan dwistandard dalam menangani rasuah kerana ia boleh membawa kepada kehancuran.

“Saya rasa tenang, saya tidak berubah. Pada 2014, prinsipnya kita tidak boleh berkompromi soal integriti, walaupun kita simpati kepada Khalid, tetapi apa boleh buat?

“Begitu juga sekarang, sama ada melibatkan (Ketua SPRM) Azam Baki atau Anwar, saya perlu bangkit dan berdepan pelbagai pihak – atas sebab yang sama, iaitu soal integriti,” katanya.

Sementara itu, Rafizi turut menasihati Faekah agar tidak memutarbelitkan isu semasa dengan sentimen agama dengan mendakwa dia kini sedang menerima kifarah.

Rafizi berkata ulama terkenal dan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Harun Din, pernah menegur pihak yang membuat spekulasi seseorang dihukum oleh Allah.

Katanya, kifarah adalah hak Tuhan untuk menentukannya dan bukan manusia.

Dia turut menggesa Faekah agar berhenti menunggang nama Khalid, sambil menyatakan bahawa tindakan itu hanya akan membuka kembali kisah-kisah negatif mengenai Allahyarham.

Dalam masa sama, dia memberi amaran bahawa mana-mana pihak dalam PKR yang cuba menggunakan Faekah sebagai senjata politik juga berisiko mengungkit semula perkara lama yang lebih baik dibiarkan terkubur.

Tiada ulasan: