FMT Reporters
Bomba berkata mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan dan muka.

Bomba berkata mangsa yang mengalami kecederaan pada tangan dan muka, dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan sementara selepas seorang penumpang dilaporkan tergelincir sebelum terjatuh di landasan Stesen Abdullah Hukum.
Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian tersebut berlaku pada 6.09 petang tadi.
“Sebagai langkah keselamatan, pihak operasi menyahaktifkan bekalan kuasa di stesen tersebut bagi memberi laluan pada kerja-kerja menyelamat daripada pihak polis, bomba dan ambulans,” katanya.
Rapid Rail berkata, perkhidmatan tren di antara stesen Universiti, Kerinchi dan Abdullah Hukum diberhentikan buat sementara waktu.
Tambahnya, perkhidmatan tren alternatif, termasuk perkhidmatan bas perantara percuma telah diaktifkan bagi menyokong operasi.
“Pihak Rapid Rail akan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kejadian tersebut.
“Kami memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas akibat daripada kejadian dan kelewatan perjalanan yang berlaku pada petang ini,” katanya.
Dalam kenyataan berasingan, Bomba Kuala Lumpur turut mengesahkan kejadian yang membabitkan seorang wanita berusia 39 tahun.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian tangan dan muka.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada 6:38 petang dan diberi rawatan awal seterusnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan