"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes Muhyiddin: Syarikat kejuruteraan sahkan bayar RM800,000 kepada Bersatu

Malaysiakini 

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa sebuah syarikat kejuruteraan dan pembinaan telah mengeluarkan empat keping cek berjumlah RM800,000 kepada Bersatu, empat tahun lepas.

Pegawai Operasi Maybank Cawangan Shah Alam Chang Hui Chin, 50, mengesahkan syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd membuat pembayaran berkenaan melalui empat transaksi berjumlah RM200,000 setiap satu, bertarikh 1 Sept 2022.

"Saya sahkan terdapat tandatangan pada cek berkenaan dan saya sahkan tandatangan tersebut adalah milik Zulhelmi Mairin@ Kunting dan Mohd Zaid Yusoff yang merupakan individu diberi kuasa bagi akaun milik KCJ Engineering Sdn Bhd," katanya.

Saksi pendakwaan keenam itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan tujuh pertuduhan menyalah guna kedudukan dan pengubahan wang haram.

Chang berkata berdasarkan penyata bank syarikat itu bertarikh 31 Okt 2022, keempat-empat cek tersebut dimasukkan pada tarikh sama iaitu 1 Sept 2022.

Terdahulu, semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat, saksi itu turut mengesahkan borang permohonan pembukaan akaun syarikat tersebut yang didaftarkan pada 19 Okt 1999.

"Saya sahkan maklumat di dalam borang ini adalah diisi oleh pihak syarikat KCJ Engineering Sdn Bhd ini sendiri kerana borang ini merupakan borang untuk kegunaan pelanggan yang boleh diperoleh di kaunter cawangan Maybank.

"Dalam borang ini juga dicatatkan nama-nama pengarah syarikat iaitu Zulhelmi Mairin@ Kunting dan Mohd Hafizam Abdul Halim. Kuasa untuk tandatangan diberikan kepada Zulhelmi Mairin@ Kunting, Datuk Azman Yusoff dan Mohd Zaid Yusoff,” katanya dalam pernyataan saksinya.

Sementara itu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin, Chang bersetuju bahawa penerima keempat-empat cek tersebut adalah Bersatu.

Saksi itu juga bersetuju dengan cadangan peguam bahawa setiap pembayaran mempunyai rekod transaksi dan keempat-empat transaksi tersebut dilakukan secara telus.

Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021 mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin bersambung 16 April.

- Bernama

Tiada ulasan: