"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak ada lesen, cukai jalan, lelaki amuk mahu bakar kenderaan sendiri

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
Pemandu dan penumpang pacuan empat roda berjaya ditenangkan oleh anggota JPJ selepas bertindak agresif termasuk mengugut untuk membakar kenderaan mereka yang disita. Foto Ihsan JPJ Melaka.
Pemandu dan penumpang pacuan empat roda berjaya ditenangkan oleh anggota JPJ selepas bertindak agresif termasuk mengugut untuk membakar kenderaan mereka yang disita. Foto Ihsan JPJ Melaka.
Melaka: Lelaki bertindak di luar kawalan apabila mengugut mahu membakar kenderaan pacuan empat roda miliknya selepas cuba disita anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.

Dalam kejadian di Lebuh Rembia, Alor Gajah, kelmarin, pemandu berusia 29 tahun itu mulanya memberi kerjasama baik kepada anggota penguat kuasa JPJ.

Dia bagaimanapun menjadi agresif sebaik dimaklumkan kenderaannya akan disita.

Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, pemeriksaan mendapati lelaki terbabit melakukan beberapa kesalahan serius termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Menurutnya, kenderaan dipandunya lelaki itu juga didapati tidak mempunyai perlindungan insurans selain Lesen Kenderaan Motor (LKM) sudah tamat tempoh.

"Makluman awal mendapati cukai jalan pacuan empat roda berkenaan sudah luput dan tidak diperbaharui selama lapan tahun.

"Pemeriksaan lanjut turut mengesahkan pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu menyebabkan kita mengeluarkan saman dan menyita kenderaan itu," katanya semalam.

Beliau berkata, ketika proses penguatkuasaan dijalankan, lelaki itu menghubungi rakannya untuk mendapatkan petrol dengan tujuan membakar kenderaan.

"Keadaan menjadi semakin tegang apabila seorang penumpang yang juga rakannya turut campur tangan mengugut dan mendakwa dirinya bekas tahanan.

"Namun keadaan berjaya dikawal anggota JPJ yang menggunakan pendekatan profesional dan berhemah.

"Anggota JPJ berjaya meredakan kemarahan kedua-dua individu terbabit sebelum mereka akhirnya akur dengan tindakan diambil," katanya.

Siti Zarina berkata, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang insiden berkenaan dan kenderaan terbabit kemudian dibawa ke depoh sita JPJ Melaka untuk tindakan lanjut.

"JPJ akan terus komited melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara tegas, berintegriti dan berhemah tanpa terpengaruh dengan sebarang bentuk ugutan atau provokasi demi memastikan keselamatan jalan raya sentiasa terpelihara," katanya.

Tiada ulasan: