KDN tegaskan larangan bekerja, berniaga bagi pemegang pas lawatan sosial
Fareez Azman
KAJANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa mana-mana pelancong yang memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial tidak dibenarkan bekerja mahupun menjalankan perniagaan.
Tegas beliau, meskipun Malaysia membenarkan kemasukan warga asing mengikut syarat yang sah, tindakan tersebut merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang negara ini.
“Saya nak sebut begini, negara kita negara terbuka, mana-mana orang nak masuk asal ada dokumen perjalanan sah mereka boleh masuk, nak rentas sempadan mesti ada pasport, nak duduk sini mesti ada pas.
“Kalau mereka masuk menggunakan dokumen sah maka mereka boleh lepasi, tapi kalau masuk pas lawatan sosial kemudian bekerja itu salah guna pas dan undang-undang menyusul,” tegasnya.
Tambah Saifuddin, perkara itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet sebelum ini.
“Beberapa bulan lepas kabinet berbincang penyalahgunaan pas ini, sebab itu kesannya laporan minggu lepas operasi dibuat ESSCOM di Pantai Timur Sabah.
“Kami temui ada (pelancong) masuk guna pas lawatan sosial, (tetapi) berniaga buka resort dan memiliki perniagaan. Ada orang tempatan jadi rakan niaga,” dedahnya lagi.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata agensi berkaitan masih memantau perkara berkenaan ketika ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan