"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis pangkat DSP, 5 lelaki didakwa acu pistol, rompak berkumpulan

Bernama 

KUALA LUMPUR: Enam lelaki termasuk seorang pegawai polis berpangkat DSP dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan mengacukan pistol dan melakukan rompakan berkumpulan di kawasan perumahan di sekitar Kepong awal bulan ini.

Pegawai polis terbabit, Ahmad Ruzaini Ahmad Dahalan, 41, bersama lima lagi tertuduh, iaitu Abd Samat Shaari, 44; Faridzuan Yahya, 31; Lim Cheal Kei, 51; Yeoh Choon Siang, 47; dan L Jijayendran, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron, Noridah Adam, Mazuliana Abdul Rashid dan Siti Shakirah Mohtarudin di empat Mahkamah Sesyen berasingan.

Mengikut dua tuduhan, Ahmad Ruzaini yang pernah bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman didakwa bersama-sama lima yang lain, dalam mencapai niat bersama melakukan rompakan dengan menunjukkan senjata api, iaitu sepucuk pistol, terhadap dua individu hingga mendatangkan ketakutan dan kematian.

Bagi kesalahan itu, lelaki yang telah digantung tugas sejak Januari lepas itu didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan dikenakan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa atas satu lagi tuduhan, iaitu bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap seorang penghuni sebuah rumah, mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan perumahan Desa Parkcity, Sentul, antara 4 dan 8.10 pagi, 5 April lepas.

Sementara itu, lima individu tersebut turut didakwa atas tiga tuduhan sama di tempat dan masa sama.

Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Mohd Nordin Ismail tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu merupakan kesalahan berat yang tidak boleh dijamin manakala peguam John Ramesh Das yang mewakili Ahmad Ruzaini, Marthavan Manikam bagi Abd Samat, Faridzuan dan Lim, manakala R Kirthiraj yang bertindak bagi Yeoh dan Jijayendran tidak membantah cadangan pihak pendakwaan.

Kesemua mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap keenam-enam tertuduh dan menetapkan sebutan kes pada 25 Mei ini.

Pada 10 April lepas, Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus mengesahkan seorang pegawai polis ditahan kerana dipercayai menjadi dalang beberapa siri jenayah samun bersenjata melibatkan nilai RM4.4 juta di sekitar Kepong.

Sindiket terbabit melarikan tiga kenderaan mewah jenis Rolls-Royce, Bentley dan Toyota Alphard, selain sebuah peti besi, wang tunai RM24,200, mata wang asing bernilai USD1,200, pelbagai barang kemas serta dua jongkong emas.

Tiada ulasan: