Zainon Talip
am@hmetro.com.my

ANTARA peralatan yang dirampas, dipercayai digunakan dalam aktiviti curi kabel milik Telekom Malaysia di kawasan terowong berhampiran Tamu Muhibbah, Miri. FOTO Ihsan PDRM
Miri: Tindakan pantas polis berjaya menggagalkan cubaan mencuri kabel milik Telekom Malaysia di kawasan terowong berhampiran Tamu Muhibbah, di sini, awal pagi semalam.
Dalam operasi jam 12.18 tengah malam itu, tiga lelaki tempatan berusia 26 hingga 47 tahun ditahan ketika dipercayai sedang atau baru selesai melakukan aktiviti mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee berkata, serbuan dilakukan sepasukan polis bantuan bersama Unit Risikan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri susulan maklumat gangguan talian komunikasi di kawasan berkenaan.
"Maklumat awal diterima daripada pusat Telekom Malaysia yang mengesan gangguan perkhidmatan sebelum anggota polis bantuan digerakkan untuk rondaan dan pemantauan.
"Hasil tindakan segera, tiga suspek berjaya ditahan di lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.
"Antara yang dirampas ialah chain lock, lampu suluh, gergaji besi, gulungan wayar tembaga, dua potongan kabel fiber serta dua potongan kulit kabel," katanya.
Beliau berkata, semua barangan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan cubaan mencuri kabel telekomunikasi yang boleh menjejaskan perkhidmatan awam.
Katanya, ketiga-tiga suspek kini direman di lokap Balai Polis Pusat Miri bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan mencuri.
"Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan kemungkinan pembabitan individu lain.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat SJN Paeng anak Lasa di talian 014-5750622 atau 085-435081, atau tampil ke balai polis berhampiran.
"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan mencuri atau merosakkan harta awam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan