FMT Reporters
Mangsa berusia tiga tahun sembilan bulan dihantar ke Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata, tigas suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 19 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun sembilan bulan maut selepas disyaki didera, dalam kejadian di Kuala Terengganu.
Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Bukit Payong, Marang, kira-kira 3.46 petang semalam.
Katanya, mangsa dihantar ke klinik dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kesan lebam dan luka pada beberapa bahagian badan termasuk dada kiri, kedua-dua paha serta betis kanan.
“Juga terdapat tanda bengkak dan gelembung air yang menunjukkan kemungkinan berlakunya jangkitan kuman ke atas mangsa,” katanya, menurut Berita Harian.
Menurutnya, susulan kejadian itu, dua lelaki dan seorang wanita tempat an berusia 30 hingga 50 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.
Katanya, salah seorang daripada suspek difahamkan adalah bapa angkat kepada mangsa.
“Semua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 19 April bagi membantu siasatan.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah komplikasi iskemia anggota badan akut dipercayai berpunca daripada kecederaan patah tulang paha yang menekan otot dan salur darah utama.
“Keadaan itu menyebabkan komplikasi serius apabila mangsa tidak menerima rawatan segera,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, kertas siasatan kini sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan