Ahmad Hasbi

Seorang wanita maut manakala kakaknya parah selepas kereta dipandu mengalami kerosakan di Lebuhraya Utara- Selatan, arah utara, dekat Nilai dirempuh lori.- Foto PDRM
NILAI: Seorang wanita maut, manakala kakaknya parah selepas kereta dinaiki mereka yang mengalami kerosakan di Kilometer (Km) 284.4 Lebuhraya Utara – Selatan, arah utara, di sini, dirempuh lori.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, seorang penunggang motosikal yang mahu membantu mengalihkan kereta itu turut parah.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, Kaunter Aduan Trafik Daerah Nilai menerima makluman daripada Gerakan Daerah Nilai berkaitan kemalangan itu pada jam 9.01 pagi.
“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang wanita berusia 32 tahun dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Perak.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, Perodua Axia itu dikatakan mengalami kerosakan dan berhenti di lorong kedua dari kiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Johari, seorang lelaki berusia 22 tahun yang menunggang motosikal jenis Honda RS 150 sampai di lokasi dan cuba memberi pertolongan kepada wanita itu untuk mengalihkan kenderaan.
“Tidak lama kemudian, sebuah lori jenis Hino yang dipandu seorang lelaki berusia 24 tahun sampai di lokasi dan dikatakan tidak perasaan kereta dan penunggang motosikal berkenaan.
“Lori berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang Perodua Axia dan penunggang motosikal yang sedang memberikan bantuan,” katanya.
Johari berkata, akibat pelanggaran itu, pemandu Perodua Axia parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.
“Sementara itu, penumpang Perodua Axia iaitu seorang wanita berusia 39 tahun serta penunggang motosikal turut parah dan kedua-dua menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Jaafar, di sini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan