Nur Izzati Mohamad

Tangkap layar rakaman video tular memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta sehingga terbabit kemalangan, semalam.
BUTTERWORTH: Sebuah kereta dipandu seorang remaja berusia 14 tahun bukan saja terbabit dua kemalangan berasingan, malah dipercayai bergerak melawan arus, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang dekat Taman Chai Leng, Perai, kenderaan dipandu remaja terbabit didakwa merempuh sebuah kereta yang parkir di bahu jalan, sebelum meneruskan perjalanan dan dipercayai melawan arus sehingga merempuh sebuah lagi kereta.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 8.47 malam hari sama berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, polis turut mengesan satu video tular dalam media sosial yang memaparkan insiden berkenaan.
“Kemalangan berlaku apabila kereta dipandu remaja berusia 14 tahun dari Lorong Kurau 23 menuju ke Jalan Kurau 1, merempuh sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan.
“Remaja itu kemudian meneruskan perjalanan sebelum kenderaan dipandunya dipercayai memasuki laluan sehala secara melawan arus di Lebuh Kurau 5 dan merempuh sebuah lagi kereta yang sedang bergerak di laluan yang betul,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Nik Aminuddin berkata, kemalangan itu mengakibatkan kerosakan pada ketiga-tiga kenderaan terbabit.
“Bagaimanapun, tiada kecederaan dilapor membabitkan mana-mana pihak.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video dalam media sosial memaparkan seorang remaja memandu sebuah kereta secara berbahaya sebelum kenderaan itu berjaya dihentikan oleh orang awam di lokasi kejadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan